ALOR SETAR - Peniaga medan selera sekitar bandaraya Alor Setar mendakwa
tersepit akibat kenaikan kadar lesen statik Majlis Bandaraya Alor Setar
(MBAS) tahun ini.
Peniaga Medan Selera Pasar Besar Alor Setar, Amran Abu, 49, berkata,
dia mendapati kadar lesen penjaja statik meningkat sekali ganda
berbanding tahun lalu.
“Ketika ingin membuat bayaran lesen statik, saya terkejut apabila
kerani memaklumkan saya perlu membayar RM112 untuk kadar lesen itu.
“Sebelum ini, saya hanya membayar RM48 untuk lesen berkenaan selama tujuh tahun sejak 2008,” katanya.
Menurutnya, sebilangan peniaga berkemungkinan terpaksa menaikkan harga
makanan ataupun minuman dijual mereka kerana kenaikan kadar lesen itu.
“Saya tidak akan menaikkan harga kerana memikirkan keadaan pelanggan.
Namun, kami seolah-olah tersepit kerana kenaikan kadar lesen dilihat
membebankan kami,” katanya.
Menurut Mohd Zul Saad, 45, kadar lesen RM240 dikenakan ke atasnya
dilihat terlalu tinggi, sedangkan dia membayar RM120 tahun lalu.
Katanya, dia tidak mampu membayar seperti diminta untuk lesen berkenaan
memandangkan perlu memperuntukkan sejumlah wang bagi membayar sewa
bulanan tapak kedai.
Menurutnya, mereka sanggup menerima kenaikan kadar lesen statik, bagaimanapun ia perlulah mengikut kadar kemampuan peniaga.
Oleh demikian, katanya, dia mengharapkan pihak berkaitan mengkaji
semula kadar lesen statik kerana ia dilihat terlalu mendadak bagi
mereka.
Manakala, Yasmin Md Yusoff, 44, yang menjalankan perniagaan makanan di
Medan Selera Alor Merah, di sini, mendakwa terpinga-pinga menerima
berita harga lesen meningkat.
Katanya, dia tidak menyangka kadar lesen statik berubah kerana mendakwa
tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara tersebut.
"Peniaga pastinya lebih bersedia jika menerima maklumat mengenai
kenaikan berbanding mengetahuinya secara mengejut dari rakan peniaga
sebegini," katanya.