Alor Setar - Sebagaimana maklum, seorang tokoh perniagaan kebanggaan umat Islam di Kedah, Famiza Zulkifli telah pulang ke rahmatullah menghadap Rabbul Jaleel pada malam 19 Februari yang lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat masalah jantung.
Allahyarhamah yang pergi dalam usianya 43 tahun pada kira-kira jam 11.20 malam itu, benar-benar memberikan kesan mendalam kepada seluruh usahawan di negeri Kedah, khususnya yang mengenali beliau secara peribadi.
Pemergian pemilik syarikat Muslimah Skincare &
Cosmetic Manufacturing Sdn Bhd itu begitu mengejutkan sehingga menyebabkan ramai yang seolah enggan percaya dengan berita memilukan itu.
Namun apakan daya, sesungguhnya Allah SWT lebih menyayangi beliau dan terdapat hikmah di sebalik pemergian insan yang disegani itu.
Kedahnews.com adalah antara yang terkesan dan tersentuh dengan pemergian Allahyarmah ekoran tidak sempat untuk menunaikan hajat beliau semasa hidupnya.
Penulis sebelum ini pernah diberi peluang untuk menemuramah Allahyarhamah Famiza secara eksklusif dan liputan mengenainya pernah disiarkan viral di laman ini. Klik di sini untuk laporan tersebut.
Selesai temuramah itu, Allahyarhamah menyatakan hasrat kepada penulis untuk menulis sebuah buku kecil mengenai kisah liku-liku hidup beliau yang penuh pahit dan manis untuk dikongsikan kepada masyarakat umum, khususnya umat Islam.
Serba ringkasnya, Allahyarhamah Famiza popular dengan lagu Getaran pada 1989 dan merupakan anak didik komposer terkenal Adnan Abu Hassan.
Beliau seterusnya telah memutuskan untuk meninggalkan dunia seni setelah berkahwin.
Namun perkahwinan Allahyarhamah tidak kekal beberapa kali dan beliau kekal sebagai ibu tunggal yang membesarkan empat orang anak hasil perkahwinannya sebelum itu hingga ke akhir hayatnya.
Allahyarhamah Famiza dengan tegas memberitahu kepada dunia bahawa beliau telah membuktikan bahawa meskipun hidup dengan status ibu tunggal yang terpaksa menyara empat anaknya, beliau telah berjaya menjalankan amanah Allah SWT itu dengan jayanya.
Biarpun penulis berkali bertanya mengenai kesungguhan untuk menulis kisah hidupnya, Allahyarhamah berkali-kali menegaskan bahawa beliau mahu seluruh umat Islam tahu mengenai kisah hidupnya sebagai satu pengajaran dan tauladan.
Beliau memberi contoh bahawa dengan rezeki yang dikurniakan Allah melalui usaha gigihnya dan kecemerlangan akhlak serta akademik anak-anaknya itu adalah bukti yang menunjukkan ibu tunggal mampu berdikari untuk berjaya.
SubhanAllah, kita hanya merancang dan Allah SWT yang Maha Menentukan. Allahyarhamah Famiza pergi meninggalkan kita mengadap Tuhan yang mencipta seluruh kejadian makhluk di alam semesta ini.
Meskipun pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar terhadap umat Islam khususnya di Kedah, namun kita sewajarnya redha dengan ketentuan Allah SWT itu dan semoga Allahyarhamah Famiza ditempatkan bersama golongan para soliheen dan aulia'.
Semoga Allahyarhamah damai di sana. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas beliau. Semoga tenang di alam barzakh dan sesungguhnya kami di sini tidak tahu bila pula akan tiba "masa"nya menyusuri langkah ke alam itu. Al-Fatihah. -Kedahnews.com