Persatuan Pengguna Islam Lancar Boikot Air Mineral Harga Lebih RM1

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut mengatur langkah membendung kenaikan barang antaranya dengan melancar boikot terhadap mana-mana jenama air mineral dalam negara ini yang dijual melebihi RM1.

Dakwa persatuan ini, kos pengeluaran maksimum sebuah air mineral hanya RM0.512 namun harga yang dikenakan kepada pengguna kini mencecah dari RM 1.20 hingga RM2.40 bagi 500 ml.

Sementara itu, ketua aktivis kumpulan ini, Datuk Nadzim Johan menyifatkan harga ini langsung tidak munasabah dijual melebihi harga yang sepatutnya.

“Harga ini tidak munasabah dan sebagai pengguna kita harus bersatu untuk memboikot air mineral yang dijual melebihi harga yang sepatutnya,” katanya seperti yang dipetik dari sebuah portal semalam.

Menurutnya, pengguna perlu bijak menggunakan kuasa mereka dalam menentukan harga barangan berikutan harga minyak yang telah diturunkan sekarang.

Persatuan ini juga turut menubuhkan jawatan kajian pengguna dan turut mengenal pasti produk Spritzer yang dijual di stesen minyak Petronas dijual pada harga RM1.20 hingga RM1.50 bagi 500 ml.

Kata Nadzim lagi, PPIM bersama lebih 20 badan bukan kerajaan (NGO) akan memboikot jenama tersebut dan sebarang jenama yang menjual dengan harga yang tidak sepatutnya.

“Kami menyedari ada perkara yang tidak betul mengenai Petronas dan Spritzer kerana hanya jenama itu sahaja yang dijual di stesen minyak itu termasuk Cactus dan Mesra.

“Kami pelik dengan Petronas yang menjual harga air mineral lebih mahal daripada harga minyak dan adalah lebih banyak keuntungan mereka menjual air mineral daripada menjual minyak,” katanya.

Nadzim turut mencadangkan agar pihak kerajaan boleh menyediakan harga siling untuk air mineral dengan harga RM1 kerana air mudah didapati.

Difahamkan bahawa usaha memboikot air mineral itu dilapor akan berterusan selama tuga bulan mulai semalam.

“Ini masanya pengguna bangkit menyuarakan hak dan pengeluar perlu hormat kepada pengguna,” katanya. -Kedahnews.com