ISU penghinaan terhadap agama Islam melalui lukisan karikatur Nabi Muhammad SAW membabitkan majalah Perancis, Charlie Hebdo, seterusnya mengakibatkan serangan keganasan terhadap pejabat majalah berkenaan yang meragut 12 nyawa, bukanlah satu permulaan baik untuk kehidupan beragama bagi pembukaan tahun baharu 2015 ini.
Tanpa membela tindakan keganasan tersebut, tidak ada agama di dunia dapat menerima apabila tokoh penting mereka dihina sedemikian rupa. Apatah lagi insan yang dihina itu ialah individu yang menjadi asas ajaran Islam itu sendiri iaitu Rasulullah, si penerima wahyu Allah.
Sikap hipokrit dan angkuh mereka ini begitu ketara sehingga sengaja ‘memalitkan darah-darah’ yang ditumpahkan sekelompok ekstremis Islam ini ke tubuh seluruh Muslim lainnya. Lantas mereka melaungkan; “Anda bersama kami atau bersama pengganas?” Seolah-olah jika tidak menyokong keganasan hendaklah menyokong agenda kebebasan mereka.
Hakikatnya kedua-duanya adalah manifestasi ekstremisme.
Perbezaan kefahaman tentang agama
Tidak dapat dinafikan perselisihan ini sedikit-sebanyak berkait rapat dengan kefahaman barat sebagai sebuah pandangan hidup, terhadap agama itu sendiri. Agama dalam Islam tidaklah sama seperti agama yang difahami di barat.
Mereka boleh saja mengatakan kelab bola sepak yang mereka gilai sebagai agama, atau legenda bola sepak tertentu sebagai Tuhan. Senario ini cukup untuk menggambarkan bahawasanya agama tidak lebih daripada sesuatu yang mereka percaya sebagai obsesi terbesar dalam kehidupan semata-mata.
Ahli teologi dan falsafah Jerman, F. Schleiermacher dalam bukunya On Religion: Speeches to Its Cultured Despisers mengatakan agama adalah, “rasa ketergantungan yang mutlak”. Sementara itu, Alfred Whitehead dalam Religion In The Making mengatakan agama adalah, “apa yang kita lakukan sendirian” sementara bagi Emile Durkheim dalam bukunya, The Elementary Form of The Religious Life menyatakan agama sekadar “rasa kebertuhanan dalam jiwa”.
Sudah tentu mereka tidak akan menemui tuhan yang sebenar itu kerana; “Tuhan telah mati,” kata Friedrich Nietzsche.
Tuhan bukan lagi wujud dan tertinggi. Tidak ada lagi yang mutlak. Kini semuanya relatif dan harus berubah. Yang kekal hanyalah perubahan. Jika ada sesiapa mengatakan sesuatu itu salah atas nama agamanya, maka orang lain berhak menghakimi bahawa orang itu benar. Kerana tuhan tidak boleh diwakili atau dijadikan justifikasi. Tuhan yang mutlak itu telah mati dan kini diambil alih oleh tuhan yang ditentukan ‘kesepakatan sosial’.
Justeru tidak hairan kenapa agama ataupun tokoh-tokoh tertentu dalam agama itu bukanlah sesuatu yang begitu suci untuk dipermainkan.
Kini budaya tinggi di barat yang melihat prinsip liberal sebagai punca kemajuan melihat nilai yang mereka yakini ini perlu disejagatkan. Penjajahan yang dulunya fizikal kini berubah wajah kepada penjajahan versi baru iaitu penjajahan pemikiran.
Akhirnya kini agama tidak lagi sesuatu yang sacred (suci) tetapi hanya profane (sekular). Agama yang dulunya mencakupi metafizikal (melangkaui fizikal) menjadi sesuatu yang fizikal semata-mata, mesti boleh dilihat, diukur dan dibuktikan. Jadilah para saintis sosial moden masa kini ulama-ulama baru pentafsir agama.
Islam adalah pandangan keseluruhan tentang kehidupan. Konsep agama dalam Islam sama sekali berbeza dengan faham barat terhadap agama mereka. Agama dalam Islam adalah fitrah (default) manusia itu sendiri. Sebelum dilahirkan ke dunia lagi manusia telah ditanya di hadapan Allah SWT: “Adakah aku ini Tuhan kamu?” Lalu manusia telah menjawab, “Bahkan kami bersaksikan (Engkaulah Tuhan kami) (al-A’raf: 172).
Islam adalah sebuah agama yang berpandukan wahyu Tuhan, memberi pandangan keseluruhan tentang setiap yang wujud serta martabat-martabatnya. Ilmu tentang setiap perkara termasuk hakikat ketuhanan, wahyu, agama, kebebasan dan lain-lain ini seterusnya memandu tingkah laku setiap insan untuk mencapai kebahagiaan yang sebenar.
Pertembungan tamadun
Peristiwa keganasan melibatkan Islam dan barat ini hanya rentetan pertembungan dua tamadun yang saling bersaing. Hakikatnya pertembungan tamadun ini membawa bersamanya pertentangan pandangan hidup terhadap alam dan kewujudan secara keseluruhan.
Barat menyedari bahawasanya Islam adalah tandingannya dalam membawa mesej kesejagatan. Justeru tidak hairan agama Islam ini menarik ramai sekali pengkaji dari barat mengkaji tokoh-tokoh serta hasil karya agung Islam.
Dalam bidang Islamic Studies khususnya, orientalis barat telah beberapa langkah ke hadapan dalam mengkaji karya-karya agung Islam, biarpun motif mereka bersifat pelbagai sama ada keilmuan, keagamaan ataupun politik.
Samuel Huntington dalam karyanya yang popular iaitu Clash Of The Civilisation menyatakan; “Negara atau kumpulan daripada tamadun yang berbeza tidak akan menjadi rapat, malah akan sentiasa wujud pertentangan. Keruntuhan komunisme mengukuhkan dominasi barat yang percaya liberal demokrasi yang membawa kejayaan kepada mereka harus disejagatkan. Lantas di mana-mana ada sahaja ‘kaki-kaki’ mereka yang dipasang sebagai puppet on a string untuk mempromosikan agenda liberal demokrasi ini.”
Keuntungan peribadi
Pasca peristiwa serangan ini, jelas menunjukkan mereka tidak menyesali tindakan provokasi mereka itu malah mengulang cetak edisi baharu yang ‘lebih panas’ dan dikatakan telah mengaut keuntungan jualan jutaan unit. Yang menjadi mangsa pastinya dunia Islam yang terus dicurigai sebagai sarang pengganas.
Boleh jadi ia hanya provokasi murahan yang akhirnya membawa keuntungan kepada majalah yang hanya mementingkan keuntungan jangka masa panjang. Tiada siapa yang mengenali Charlie Hebdo sebelum mereka melakukan kegilaan ini, barangkali cuba mengikut jejak langkah Salman Rushdie yang tidak dikenali sesiapa kecuali setelah keluar dengan bukunya, The Satanic Verses.
*AKHRUN MUSA/Penulis ialah Penolong Pengarah Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)./ Utusan