Phahrolrazi Akui Ada Perbincangan Tukar Presiden PAS


Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk Phahrolrazi Zawawi mengaku bahawa wujudnya perbincangan untuk menukar Presiden PAS yang kini disandang oleh tokoh ulama, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, perbincangan tersebut berkisar mengenai persoalan sama ada untuk mengekalkan Abdul Hadi sebagai Presiden PAS atau tidak, namun tiada sebarang kata muktamad yang diputuskan pada masa ini.

"Ada perbincangan dalam PAS untuk buat pertukaran (presiden) sama ada untuk buat pendirian tukar atau tak tukar.

"Masih lagi dalam perbincangan nak kekalkan presiden sekarang. Banyak saranan yang diberi tapi belum ada keputusan muktamad," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Shah Alam, semalam.


Walau bagaimanapun, Phahrolrazi yang sering dikaitkan dengan gerakan dalaman PAS untuk menyingkirkan Abdul Hadi masih menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu termasuk mengaku tidak terlibat dalam perbincangan bagi agenda berkenaan.

"Saya tak terlibat (dalam perbincangan), saya cuma dapat maklum," jelasnya.

Selain Phahrolrazi, turut berdepan dakwaan menggulingkan Abdul Hadi ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli.

Sebelum Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu, PAS Kedah kecoh apabila Phahrolrazi secara terang-terangan "menyerang" dan memperlekeh bekas Menteri Besar Kedah merangkap Pesuruhjaya PAS Kedah, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak.

Terdapat dakwaan bahawa Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Kedah itu cuba menggulingkan Allahyarham dari jawatan Menteri Besar Kedah selain menyifatkan beliau sebagai "enjin tiga silinder" dan tidak layak memimpin negeri itu. -Kedahnews.com