Phahrolrazi Herdik PAS Selangor, Dakwa Tidak Berhak Larang Ahli Sertai PasMa


Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk Phahrolrazi Zawawi mengherdik PAS Selangor dan mendakwa PAS di negeri itu tidak punya hak untuk melarang ahlinya menyertai NGO berkenaan.

Phahrolrazi mendakwa, PKR dan DAP menyokong penuh keterlibatan ahlinya di dalam NGO yang diketuainya itu dan mempersoal tentang kewajaran PAS Selangor yang melarang ahlinya menyertai PasMa.

"Cukuplah, tak perlu arahkan parti dalam PR, kerana DAP dan PKR dah beri sokongan penuh dan mereka sokong kegiatan kita sebagai NGO," katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam, semalam.
Phahrolrazi turut mengatakan bahawa tindakan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad yang mengeluarkan arahan sedemikian melangkaui kuasa Pakatan Rakyat.

Meskipun begitu, Phahrorazi yang juga merupakan Yang DiPertua PAS Kuala Kedah itu menegaskan kepada Iskandar bahawa PasMa tidak sedikit pun terjejas dengan larangan yang dikeluarkan PAS Selangor itu.

Phahrolrazi juga merupakan ADUN Pengkalan Kundor dan pernah menjawat jawatan Exco Kerajaan Negeri Kedah ketika PAS memerintah negeri Kedah selama sepenggal sebelum ini.

Beliau dikatakan telah bermusuh secara terbuka dengan bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak sejurus sebelum Pilihanraya Umum ke-13 yang menyaksikan PAS gagal mempertahan kuasa di negeri itu.

Selain itu, Phahrolrazi turut dikatakan antara punca PAS hilang kuasa di negeri tersebut ekoran tindakannya "menyerang" dan memperlekeh Pesuruhjaya PAS Kedah itu yang disifatkan tidak mampu memimpin kerana hanya hidup dengan "enjin tiga silinder", merujuk kepada tahap kesihatan Allahyarham.

Kemelut di antara bekas Exco itu dengan Allahyarham Ustaz Azizan dikatakan berlanjutan hingga Menteri Besar itu menghembus nafas terakhir dan Phahrorazi kini dikaitkan pula oleh akar umbi parti dengan gerakan dalaman PAS untuk menggulingkan Abdul Hadi selaku Presiden. -Kedahnews.com