Phahrolrazi Nafi PasMa Dalang Jatuhkan Hadi

ALOR SETAR - Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk Phahrolrazi Zawawi menafikan pihak NGO itu merupakan dalang dalam gerakan menjatuhkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, tuduhan tersebut bukan baru dilemparkan terhadap NGO itu dan dia menjelaskan bahawa pihaknya sudah lali dengan tuduhan tersebut, khususnya menjelang pemilihan kepimpinan PAS pada hujung tahun ini.

“Tuduhan itu bukan baharu, sudah berulang kali dikaitkan Pasma dengan gerakan mahu jatuhkan Hadi. Sebelum ini, Pasma sudah perjelaskan tidak pernah terlibat dengan mana-mana gerakan seperti didakwa,” katanya yang dipetik dari sebuah portal.

Semalam, ratusan ahli dan penyokong PAS berhimpun di depan ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut di ibu negara mendakwa PasMa turut terlibat dalam gerakan menjatuhkan Abdul Hadi dan mendesak mereka dipecat dari parti.
Difahamkan juga bahawa himpunan itu dibuat bagi menunjukkan sokongan kepada Abdul Hadi.

Ketua Pemuda Pas Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim yang mengetuai himpunan itu turut menyerahkan memorandum dan apa yang didakwa sebagai bukti sabotaj oleh pihak yang dikatakan menjadi dalang gerakan menjatuhkan Abdul Hadi.

Mengulas mengenai perkara itu, Phahrolrazi menjelaskan bahawa ia merupakan masalah dalaman parti itu dan sekiranya terdapat bukti yang mengukuhkan dakwaan mereka, kepimpinan pusat wajar melakukan siasatan jika menganggap perkara itu serius.

“Pimpinan pusat boleh lakukan siasatan dalaman berikutan ada aduan. Namun terpulang pada mereka. Jika tidak ambil tindakan (siasat), wajar ambil tindakan terhadap pihak yang mendakwa wujud konspirasi atas cubaan memecah-belahkan perpaduan parti,” katanya lagi

Selain itu, Phahrolrazi turut menafikan penglibatan beberapa pemimpin kanan Pas dengan PasMa.

“Sebelum arahan dikeluarkan tidak membenarkan ahli Pas sertai Pasma, memang ada jemput mereka menjayakan program Pasma, selepas itu tidak lagi,” jelas Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Kedah itu.

Menjelaskan mengenai desakan beberapa pihak yang mahu beliau melepaskan jawatan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Kedah berikutan kedudukannya sebagai pengasas dan Presiden Pasma, Phahrolrazi menyerahkan kedudukannya kepada perwakilan sama ada mahu terus memilih beliau atau sebaliknya, pada pemilihan Pas kawasan 20 Mac.

“Ahli atau perwakilan di kawasan yang pilih saya sebagai Yang Dipertua, mereka bagi sokongan dan saya dipilih. Jadi kena tunggu pemilihan ini,” katanya yang menyandang jawatan itu sejak 2003.

Mengulas sama ada memilih Pas atau PasMa jika diberi pilihan, Phahrolrazi sebaliknya bertegas tidak timbul masalah untuk beliau memikul dua tanggungjawab sekali gus, kerana peranan antara parti dan NGO itu tidak bertindih. -Kedahnews.com