PKR, Rafizi Mahu Anwar Dibenar Hadir Sidang Parlimen!

ALOR SETAR – Meskipun dipenjara selama 5 tahun setelah disahkan bersalah meliwat, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dibenarkan untuk hadir ke sesi sidang Parlimen. 

Setiausaha Agung parti berkenaan, Rafizi Ramli menegaskan bahawa kerusi parlimen Permatang Pauh yang disandang Anwar tidak kosong selagi proses petisyen pengampunan diraja oleh pemimpin PKR itu selesai. 

"Persoalan Ketua Pembangkang dan pilihan raya kecil juga tidak timbul. Sebagai Ketua Pembangkang, Anwar wajar dibenarkan untuk hadir ke Dewan Rakyat untuk sidang Parlimen yang akan datang bermula 9 Mac 2015 ini.

"Oleh demikian, Sekretariat Parlimen PKR akan berurusan dengan Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dan peguam Anwar ntuk mendapatkan kebenaran bagi membolehkan beliau hadir sebagai Ketua Pembangkang di sidang Parlimen akan datang," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini. 

Rafizi dalam kenyataan itu turut memberitahu bahawa Biro Politik PKR menyokong penuh petisyen yang dihantar keluarga Anwar ke Istana Negara baru-baru ini untuk mendapatkan pengampunan DiRaja bagi pihak Ketua Umum PKR itu.

"PKR memahami bahawa itu adalah keputusan peribadi keluarga Anwar yang perlu dipisahkan daripada pertimbangan politik atas dasar kasih sayang anak-anak dan isteri kepada seorang bapa dan suami," jelasnya menyatakan pendirian mengenai hal tersebut. -Kedahnews.com