BANGKOK – Kerajaan tentera Thailand melarang bekas Perdana Menteri,
Yingluck Shinawatra keluar negara bagi memastikan beliau berada di
negara itu untuk berdepan dakwaan jenayah lewat bulan ini.
Tentera yang menumbangkan kerajaan Yingluck dalam rampasan kuasa Mei
lalu, menamatkan demonstrasi selama beberapa bulan di jalan raya di
Bangkok yang melumpuhkan pentadbirannya.
Minggu lalu, Yingluck dilarang berpolitik selama lima tahun dan
didakwa atas tuduhan jenayah berhubung pembabitannya dalam skim
pembelian beras yang menelan belanja berbilion dolar.
Peguam Negara akan menyerahkan sapina kepada Mahkamah Agung pada 19
Februari ini dan mahu Yingluck hadir, kata jurucakap kerajaan, Sunsern
Kaewkumnerd.
Yingluck meminta kebenaran meninggalkan Thailand dari Ahad sehingga 22 Februari ini, katanya.
“Suspek mesti ada untuk proses pertama kes, jika tidak ia tidak boleh diteruskan,” kata Sunsern.
Tidak perlu hadir
Peguam Yingluck, Norawit Laleng, berkata tidak penting bagi Yingluck
untuk hadir di mahkamah untuk sekurang-kurangnya dua bulan ketika
pendakwa mempertimbangkan kes itu dan memilih hakim.
“Jika junta melarang beliau keluar negara menggunakan kes mahkamah
sebagai alasan, itu jelas melanggar hak asasi Yingluck,” kata Norawit. –
REUTERS