KOTA KINABALU – Polis Sabah sudah merakamkan percakapan sembilan
suspek termasuk tiga wanita, berhubung pengedaran risalah Sabah Sarawak
Keluar Malaysia (SSKM) di Tuaran, semalam.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata selain
percakapan sembilan suspek berumur 24 hingga 52 tahun itu, pihaknya
turut merekodkan keterangan 14 orang saksi.
“Tangkapan sembilan suspek dibuat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.
Kesemua sembilan suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis pada 5
petang semalam selepas rakaman percakapan diambil,” katanya kepada
Bernama di sini hari ini.
Jalaluddin berkata siasatan juga akan dijalankan di bawah Akta Mesin
Cetak dan siasatan kes itu akan disiapkan secepat mungkin untuk
diserahkan kepada pihak Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.
Beliau berkata sembilan suspek itu ditahan selepas disyaki
mengedarkan risalah berkaitan SSKM di beberapa lokasi di tamu (pasar
minggu) Tuaran antara pukul 9.50 pagi dan 10.42 pagi semalam.
Katanya berikutan tangkapan itu, sebanyak 113 risalah pelbagai tajuk
dan beberapa buah buku turut dirampas daripada suspek untuk membantu
siasatan. – BERNAMA