BEIJING – Aktres dan model ternama dari China, Zhang
Ziyi, 36 tahun; mengakui bakal berkahwin dengan kekasihnya, Wang Feng,
setelah beliau dilamar dengan gimik menggunakan sebuah pesawat tanpa
juruterbang atau drone pada Isnin.
Media tempatan pada Selasa melaporkan, peristiwa itu kebetulan
berlaku ketika sambutan majlis hari lahir Zhang pada Isnin apabila Wang,
seorang bintang rock terkenal di China, mengirim sebuah drone putih yang membawa sebentuk cincin berlian.
Wang, 43 tahun, yang menubuhkan kumpulan rock popular No.43 Baojia Street
sejak belajar di sebuah kolej muzik di sini pada 1994; kemudian dilihat
mengambil cincin itu dan berlutut untuk meminta kesediaan Zhang
menerima lamaran dirinya.
Zhang Ziyi ketika hangat bercinta dengan Sa Beining pada 2012. – Gambar hiasan |
Duda yang pernah berkahwin dua kali itu akhirnya gembira lega apabila
Zhang sanggup berkata: “Ya”, sekali gus menyebabkan drama airmata
spontan dan disambut tepuk tangan tetamu yang hadir menyaksikan
peristiwa tersebut.
Sehari setelah lamaran, Zhang yang mula menjadi terkenal melalui filem kung fu Crouching Tiger, Hidden Dragon pada 2000 itu; memuat turun foto bunga api menerusi akaun laman sosial milik peribadinya dan menulis, “Saya bersedia.”
Zhang pada 2012 pernah mencipta tajuk berita utama media China
apabila menerima lamaran seorang lelaki Muslim tempatan dari suku etnik
Hui, Sa Beining yang mengirim sejambak besar 9,999 kuntum bunga mawar
kepada beliau.
Hubungan Zhang dengan pengacara stesen televisyen tempatan itu turut
mendapat restu ahli-ahli keluarga dan mereka pernah berkucupan mesra
pada majlis hari lahir ke-33 tahun aktres jelita tersebut selepas
setahun menjalin hubungan serius.
Namun, ia tinggal kenangan secara misteri dan Zhang pernah dikritik
kerana berpacaran dengan seorang pegawai tentera rejim Israel, Vivi
Nevo, selain peranannya sebagai gadis pekerja seks Jepun dalam filem
epik Memoirs of a Geisha pada 2005.
Aktres tersebut malah pernah dikritik kerana mungkir janji untuk
menyumbangkan derma peribadi sebanyak 1 juta yuan (RM500,000) kepada
Palang Merah China untuk tabung bantuan mangsa gempa bumi terburuk di
Sichuan pada 2008. – Agensi