Raja Jordan, Raja Abdullah Hussein |
AMMAN — Seumpama filem Independence Day,
kematian tragis Leftenan Muath Safi Yousef al-Kasasbeh membuat Raja
Jordan, Abdullah Hussein berasa amat murka dan berikrar akan segera
membalas dendam ke atas militan ekstrem Daulah Islamiyah (IS).
Secara kebetulan seperti filem epik Hollywood pada 1996 itu, Raja
Abdullah memang pernah menjadi juruterbang jet tempur tentera udara
diraja Jordan (RJAF), malah akan memimpin sendiri serangan balas
terhadap IS di Syria, lapor media tempatan.
Ia bahkan kebetulan menyerupai salah satu babak filem itu apabila
Presiden Thomas Whitmore lakonan aktor Bill Pullman mengetuai skuadron
tentera udara Amerika Syarikat (AS) menyerang kapal induk makhluk asing
yang berlabuh di ruang angkasa bumi.
Perkara mengejutkan itu disahkan sendiri bekas jeneral tentera Jordan
yang secara tidak sengaja berkata, Raja Abdullah, 53 tahun; bersiap
siaga untuk memimpin serangan besar-besaran RJAF sebagai membalas
kematian tragik allahyarham Muath, 26 tahun.
Muath Safi Yousef al-Kasasbeh |
Mantan jeneral yang enggan dikenali itu berkata, Raja Abdullah secara
serius memetik ungkapan popular yang diucapkan bintang Clint Eastwood
dalam salah satu filemnya, Unforgiven pada 1992 ketika melakukan lawatan rasmi ke AS awal Februari lalu.
Raja Abdullah segera memendekkan lawatan tersebut setelah dimaklumkan
Muath yang ditawan IS pada 24 Disember tahun lalu kemudian secara zalim
dibakar hidup-hidup pada 3 Januari sebelum rakaman video kejadian itu
disebarkan kepada umum.
Dua jet pejuang F-16 milik Tentera Udara Diraja Jordan terbang di ruang angkasa. – Gambar hiasan |
Allahyarham Muath yang menyertai RJAF selepas tamat latihan di Kolej
Udara Raja Hussein pada 2009 ialah juruterbang elit F-16 Skuadron No.1
di pangkalan udara Muwaffaq Salti dan berkahwin dengan jurutera Anwar
al-Tarawneh pada 2014.
Seorang anggota Kongres AS dari California, Senator Duncan Lee Hunter memberitahu akhbar Washington Examiner yang melaporkan Raja Abdullah mengajuk ayat Eastwood: “Semua orang yang saya lihat di sana, saya akan bunuh mereka,”
“Setiap musuh yang menembak saya, saya tidak hanya akan menembak
mereka, malah saya akan bunuh isterinya, teman-temannya dan membakar
habis rumahnya,” ujar Hunter meniru gaya bersahaja titah Raja Abdullah
ketika berada di Washington DC.
Kebetulan pula jelas Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Tentera AS di
Kongres itu, pada malam 3 Februari, baginda bertemu Presiden Barack
Obama, beberapa jam setelah video pembunuhan Muath disebarkan menerusi
laman internet ke seluruh dunia.
Selepas melakukan perbincangan, dua pemimpin itu bertekad
memperluaskan strategi memerangi IS yang masih menguasai wilayah cukup
luas di Iraq dan Syria serta kian menghampiri Arab Saudi bagi
menghancurkan Kaabah, kiblat umat Islam di Makkah.
Obama berjanji, Washington DC akan meningkatkan bantuan tahunan
kepada Amman sehingga AS$1 juta (RM3.6 juta) untuk menolong negara Arab
itu memusnahkan IS yang semakin zalim membunuh ramai tawanan tidak
berdosa. – Agensi