Raudhah: Rindunya Untuk Ke Taman Syurga Allah Di Masjid Nabawi...

Umat Islam berebut, bersesak untuk bersolat di Raudhah, foto: Kedahnews.com
Sekiranya kita ke masjid Nabawi As-Shareef di Madinah Al-Munawwarah perlu diketahui bahawa Raudhah adalah lokasi tumpuan utama umat Islam di seluruh dunia di mana ia merupakan lokasi mustajab untuk berdoa.

Apakah itu Raudhah dan apa istimewanya kawasan ini?

Raudhah adalah merupakan sebuah kawasan kecil yang terletak di dalam Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi dan luasnya hanyalah sekadar 22 x 15 meter sahaja.

Ia menjadi tumpuan umat Islam di seluruh dunia yang datang pusat pentadbiran kerajaan Rasulullah SAW itu kerana di situlah junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW bersolat, semasa hidupnya.

Malah di situlah juga Rasulullah SAW berdakwah kepada umat Islam di zaman kegemilangan Islam dulu.

Disebabkan itu, para ulama silam mengatakan bahawa sesiapa yang dapat memasuki kawasan tersebut digalakkan supaya berdoa bersungguh-sungguh dan meminta apa saja kepada Allah kerana dengan izin-Nya, segala hajat pasti dimakbulkan atau diberi.

Dalam Islam, konsep doa itu terbahagi kepada tiga dimana kita mestilah berdoa, berusaha dan bertawakkal kepada Allah SWT atas apa yang diminta.

Maksudnya, walaupun Raudhah adalah tempat dimana Allah SWT akan kabulkan apa saja yang diminta, tetapi kita juga mesti berusaha sedaya mampu tanpa mengharapkan sesuatu terjadi atau diberi begitu saja secara "percuma".

Rasulullah SAW juga menyifatkan Raudhah sebagai sebahagian tempat yang ada dalam syurga atau '"a garden from the gardens of Paradise".

Dari Abi Sa’id al-Khurdri ia berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Tempat di antara kubur dan mimbarku ini adalah Raudhah (kebun) di antara beberapa kebun surga”. (Musnad Ahmad bin Hanbal).
Kedahnews.com yakin bahawa sesiapa yang pernah menjejakkan kaki di Raudhah pastinya akan merasai satu pengalaman yang "luar biasa" di mana walaupun terpaksa bersesak-sesak dengan umat Islam yang bertumpu disitu, suasananya amat tenang dan damai.

 Lebih menyentuh hati, Raudhah sentiasa berbau wangi.


Alhamdulillah, Kedahnews.com pernah diberi kesempatan untuk berada di Raudhah kira-kira dua tahun lalu dan dikurniakan peluang untuk bersolat betul-betul di depan mihrab yang sering digunakan Rasulullah SAW di situ.

Keajaiban berlaku apabila di dalam keadaan bersesak, diasak beberapa jemaah timur tengah dari belakang, penulis tiba-tiba tanpa disedari tertolak hingga berada tepat di depan mihrab tersebut.

SubhanAllah! Di saat itu, tersentuh di hati penulis mengenang betapa kasihnya Allah SWT kepada hambaNya yang bertuah ini sehingga diberi peluang menunaikan solat taubat dan hajat di mihrab kekasihNya, Muhammmad SAW.


Sehingga kini, penulis masih merindui dan sering terbayang kenangan di taman syurga Allah itu, serta ketenangan jiwa ketika detik berada di Raudhah biarpun sudah dua semusim haji berlalu.

Semoga kenangan itu berulang kembali menjadi kenyataan pada penulis dan agar kita semua umat Islam di Malaysia diberi peluang untuk berada di Raudhah. Sesungguhnya di situlah pusat perkembangan Islam hingga sampai ke negara kita. Allahu Akbar! -Kedahnews.com