Minggu lalu dilaporkan telah berlaku kekecohan di perkarangan ibu pejabat MIC Kuala
Lumpur apabila Naib Presiden MIC, Datuk M. Saravanan dihalang
daripada memasuki bangunan tersebut bagi menghadiri satu sidang media.
Setelah itu, timbul pula sekeping gambar menunjukkan sepucuk
pistol terselit di pinggang Saravanan ketika kejadian huru-hara itu berlaku, sekaligus menimbulkan persoalan
di benak ramai tentang rasionalnya beliau membawa senjata tersebut
bersamanya.
Bercakap kepada media ketika ditemui di Batu Caves sempena sambutan
Thaipusam semalam, beliau berkata senjata api yang diselit itu hanya terlihat
sedikit dan bukan sepenuhnya.
“Saya simpan untuk pertahankan diri. Sebab itu nampak sikit. Bukan nampak pistol (penuh).
“Senjata diberi untuk menjaga keselamatan saya. Saya mesti bawa. Tapi
tak sempat nak ugut sesiapa atau takutkan. Nampak sikit saja,” ujarnya.
Mengulas tentang pergolakan dalaman MIC Saravanan berkata beliau
sedang menunggu restu Tuhan bersempena Thaipusam sama ada bertanding
merebut jawatan presiden pada pemilihan baru kelak atau sebaliknya.
“Saya belum fikirkan lagi (sama ada hendak bertanding atau tidak).
Mungkin saya dapat restu dari Tuhan hari ini dan Tuhan kata teruskan
(bertanding),” ulasnya. -Kedahnews.com