KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata
beliau tidak gentar dengan ugutan bunuh yang diterimanya daripada
sekumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Anak
Malaysia Anti Demokrasi’.
Khalid dalam kenyataan hari ini berkata ugutan itu langsung tidak
menakutkan beliau sebagai Ketua Polis Negara dalam melaksanakan tugas
yang telah diamanahkan dan menyifatkan ugutan seperti itu merupakan
lumrah seorang pegawai polis yang menjalankan tugas.
"Ekoran daripada beberapa klip video yang tersiar dalam laman sosial
yang memperkenalkan mereka sebagai kumpulan Anak Malaysia Anti Demokrasi
baru-baru ini, saya menyifatkannya sebagai satu tindakan yang tidak
bertanggungjawab oleh pihak berkenaan serta ingin memberikan satu
gambaran yang buruk terhadap sistem demokrasi berparlimen di negara ini.
"Ini menunjukkan bahawa kumpulan tersebut tidak mengenal erti
sebenarnya sistem demokratik yang telah sekian lama diamalkan di negara
ini dan mengugut untuk membunuh saya,” katanya.
Dua hari lepas, video berdurasi 1 minit 27 saat menjadi viral di
laman sosial YouTube, yang antara lain mengugut untuk membunuh Ketua
Polis Negara dan meletupkan keretanya.
Video klip itu memaparkan tiga lelaki bertopeng menggelarkan diri
mereka sebagai Anak Malaysia Anti Demokrasi di mana seorang daripada
mereka mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan dan ugutan.
Mengulas lanjut, Khalid berkata apa yang membimbangkan adalah
terdapat segelintir masyarakat tidak menggunakan saluran demokrasi yang
sedia ada di negara ini dan sering melakukan perbuatan yang salah di
sisi undang-undang dalam menuntut sebarang perubahan.
“Saya yakin masyarakat Malaysia tidak mahu melihat negara ini menjadi
huru hara akibat perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab,”
katanya.
Khalid turut berkata mana-mana pihak yang mempunyai sebarang niat
jahat sedemikian supaya menghentikannya dengan serta-merta kerana ia
berupaya membawa implikasi keselamatan yang amat serius dan akan
merosakkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat yang berbilang
bangsa, kaum dan agama di negara ini.
Katanya aktiviti dan identiti kumpulan berkenaan sedang dikesan pihak
polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM).
“Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut
peruntukan undang-undang yang sedia ada ke atas sesiapa sahaja yang
mengganggu-gugat keamanan yang kita kecapi selama ini,” katanya. –
BERNAMA