Para Mufti dan tokoh Islam di negara ini menyifatkan tindakan individu yang menyebarkan berita palsu yang semakin menjadi-jadi khususnya di laman-laman sosial sejak kebelakangan ini seolah menempah tiket ke neraka.
Kata para agamawan itu, tindakan segelintir masyarakat yang sengaja menyebarkan berita palsu di laman sosial dan aplikasi WhatsApp tanpa rasa bersalah bukan sahaja salah di sisi undang-undang malah ditegah agama.
Sebelu ini, masyarakat disogok dengan pelbagai cerita negatif mengenai bencana banjir di Pantai Timur termasuklah dakwaan pusat pemindahan runtuh, kerajaan sembunyikan kematian mangsa banjir, bantuan disekat dan fakta-fakta berbaur hasutan bertujuan mencetuskan kebencian.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot menegaskan bahawa perbuatan itu bukan sahaja boleh menimbulkan kekacauan kepada umat manusia tetapi mempamerkan ciri-ciri orang munafik.
“Sesungguhnya orang munafik tempatnya adalah neraka paling bawah sekali. Tidak takutkah mereka dengan dosa dan azab tuhan? Mungkin mereka lupa dunia ini ibarat roda, sampai saat mereka berada di bawah nanti mereka akan rasa.
“Apa salahnya mereka turun padang dan melihat sendiri situasi yang dihadapi di sana. Bukan sebarkan maklumat tidak benar. Jangan tempah tiket ke neraka,” katanya yang dipetik dari Utusan baru-baru ini.
Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman memberi amaran bahawa, sebarang maklumat yang diterima tidak sepatutnya disebarkan tanpa meneliti kesahihannya.
“Dalam al-Quran sendiri sudah dijelaskan menerusi Surah An-Nisa’ ayat 83 yang bermaksud setiap perkhabaran yang diterima perlu diiktiraf kebenarannya daripada ‘ulul-amri’ iaitu mereka yang layak dan berilmu.
“Begitu juga dengan Surah Al Hujurat ayat 6 yang menyuruh kita menyelidik sesuatu maklumat terlebih dahulu. Tetapi yang menjadi masalah adalah apabila masyarakat sendiri tidak menghormati pimpinan, itu akhirnya akan membawa kepada kecelakaan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh umat supaya menghindari perbuatan fasik yang membawa kepada dosa besar serta dikhuatiri menghancurkan negara. -Kedahnews.com