Shah Waliyullah Al-Dihlawi: Kenali Tokoh Mujaddid, Ahli Sufi Dari India

Hujjatullah Al-Baalighah, antara karya agung Syah Waliyullah Ad-Dihlawi
SALAH seorang tokoh pembaharuan dan ahli sufi terkemuka dari India ialah Syah Waliyullah. Nama penuhnya ialah Qutubuddin Ahmad Syah Waliyullah bin Abdurrahim al-Dihlawi.

Dilahirkan di Delhi, sehingga mendapat gelar al-Dihlawi (orang Delhi). Syah Waliyullah berasal daripada keluarga terkemuka. Salasilah keluarganya hingga kepada Umar bin al-Khattab daripada keturunan ayahnya dan Ali bin Abu Talib daripada keturunan ibunya.

Beliau memperoleh pendidikan daripada ayahnya Abdurrahim, ahli sufi dan ulama pengasas Madrasah Rahimiah di Delhi. Di madrasah itulah, beliau mempelajari ilmu agama, termasuk tasawuf.

Kemudian beliau mencurahkan ilmunya di madrasah itu, selepas tamat pengajian di Mekah dan Madinah sehingga akhir hayatnya.

Selama dua tahun, Syah Waliyullah tinggal di Mekah dan Madinah. Beliau banyak memperoleh ilmu agama, terutama tentang hadis dan tasawuf daripada ulama terkemuka di kedua-dua kota suci itu.

Gurunya yang paling penting di Tanah Suci itu ialah Syeikh Abu Tahir al-Madani, seorang ulama Mazhab Syafie dan ahli sufi terkemuka di Hijaz pada masa itu. Selain menerima ijazah untuk mengajar dan meriwayatkan hadis, Syah Waliyullah juga diterima dalam tarekat yang diikuti Abu Tahir.

Syah Waliyullah berusaha mendamaikan doktrin wahdah al-wujud (kesatuan wujud) Ibnu Arabi dengan doktrin wahdah al-syuhud (kesatuan kesaksian) Ahmad Sirhindi.

Beliau yakin bahawa kedua-duanya benar. Beliau mengatakan bahawa selama ini wahdah al-wujud sering difahami sebagai doktrin yang menghilangkan perbezaan antara Tuhan dengan alam. Dengan mempertahankan perbezaan itu, wahdah al-wujud tidak bertentangan dengan wahdah al-syuhud.

Pemikiran Syah Waliyullah amat berpengaruh lama dunia Islam. Di India sendiri, pengaruhnya disebarkan menerusi murid dan anak-anaknya, terutama anak sulungnya, Syah Abdul Aziz.

Melalui Abdul Aziz, unsur pemurnian dalam ajarannya menjadi lebih menonjol, namun tetap tidak menghilangkan sufi ortodoknya. Gerakan ini semakin kuat di tangan murid Syah Abdul Aziz yang kemudian mengubahnya menjadi gerakan jihad.

Syah Waliyullah menyampaikan pemikirannya menerusi karyanya. Dengan karyanya itu, beliau berjuang untuk memperbaiki keadaan umat Islam India yang pada masa itu sedang dalam krisis politik, sosial, intelektual dan agama.

Salah satu karyanya yang terkenal ialah kitab Al-Fauz al-Kabir fi Usul at-Tafsir (Kemenangan Besar dalam Usul Tafsir). Di dalamnya Syah Waliyullah secara berani mengemukakan pendapatnya yang sebenar dalam bidang ilmu al-Quran.

Info

Biodata Syah Waliyullah

1703 – Lahir di Delhi (21 Februari)

1708 – Memasuki pendidikan asas

1710 – Mampu menghafal kandungan al-Quran

1718 – Masuk Tarekat Naqksyabandiyah

1720-1730 – Mengajar di Madrasah Rahimiah

1730-1732 – Tinggal di Mekah dan Madinah

1732 – Kembali mengajar di Madrasah Rahimiah

1762 – Meninggal dunia di Delhi (10 Ogos)

Sumber: Utusan