Keluarga pelajar perempuan yang maut akibat dikelar rakan lelakinya
kesal dengan kenyataan pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM)
apabila didakwa seolah-olah bersikap lepas tangan terhadap tragedi
menimpa anak kedua daripada enam beradik itu.
Ibu mangsa Nor Azlina Dawari, 44, berkata, dia sedih dengan kenyataan
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM Prof Datuk Dr Abdullah
Mohamad Said apabila mengatakan anaknya Nur Syuhada Johari, 20, mengikut
lelaki itu secara sukarela.
“UiTM tidak sepatutnya membuat kenyataan sewenang-wenangnya
yang menggambarkan Nur Syuhada dengan sukarela mengikut suspek dan
bukannya diculik selain kejadian berlaku di luar kampus.
“Siapa UiTM untuk kata anak saya secara sukarela mengikut
lelaki itu? Anak saya diugut dengan pisau sebelum dipaksa masuk ke dalam
kereta, malah rakannya juga ada melihat kejadian sebelum memaklumkan
kepada saya.
“Sebagai ibu yang melahir dan membesarkan Nur Syuhada, saya
tahu anak saya cuba mempertahankan dirinya (dan)…saya tidak mampu terima
tragedi yang menimpanya. Anda fikir saya mampu memaafkan suspek dan
keluarganya?” katanya, semalam.
Menurutnya, dia menganggap semua penuntut wanita di UiTM Permatang
Pauh itu seperti anaknya sendiri dan tidak mahu kejadian sama berulang. –
myMetro