Simpati Dan Kasihanilah PAS...

Sebagai saudara seagama, penulis amat simpati dengan kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat yang semakin hari semakin ditekan, dihina dan dilayan dengan sikap "double standard" oleh para pimpinan DAP dan PKR.

Umum mengetahui krisis PAS di dalam Pakatan Rakyat bermula ketika insiden "copu de tat" yang menyaksikan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim selamba digulingkan PKR dan DAP, meskipun PAS tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.

Pada penulis, kemelut dalaman Pakatan Rakyat itu sebetulnya berlaku lebih awal ketika mana orang ramai mula menegur dan mengingatkan PAS yang seolah menjadi "keldai tunggangan" DAP dan PKR untuk mendapat sokongan rakyat beragama Islam.

Pelbagai dasar utama PAS disisihkan dari Buku Jingga yang menjadi buku "perlembagaan" Pakatan Rakyat yang memansuhkan tujuan perlaksanaan hudud dan penubuhan negara Islam yang tradisinya menjadi perjuangan PAS.

Meskipun begitu, kepimpinan PAS ketika itu enggan mendengar teguran umat Islam dan memberi alasan "tahaluf siyasi" untuk terus diperguna DAP dan PKR di dalam Pakatan Rakyat. Hasilnya, kerusi PAS banyak hilang ketika PRU ke-13 lalu.

Selepas PRU ke-13, PAS semakin tertekan di dalam gabungan parti-parti politik pembangkang yang masih gagal didaftarkan atas nama Pakatan Rakyat itu.

Meskipun PAS Pulau Pinang sempat mengadu ketika Muktamar PAS di Johor tahun lalu dan Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu dipilih untuk menyelesaikan isu "DAP buli PAS Pulau Pinang", permasalahan tersebut difahamkan masih gagal diselesaikan sehingga kini.

Setelah itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang teruk diserang hampir setiap hari dengan pelbagai isu seperti "ponteng mesyuarat" dan dikatakan "lemah", selain menyanggah keputusan mesyuarat kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.

Jika sebelum itu PAS diserang PKR kerana tidak mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor, kini DAP pula mengambil giliran "membelasah" Abdul Hadi dan PAS. Seolah acara "pass baton" pula, kan?

Sudahlah dasar-dasar utama dimansuhkan termasuk amaran keras kepada parti itu untuk melaksanakan hudud, serangan demi serangan pula dilancarkan terhadap kepimpinan PAS, diyakini untuk menjejaskan imej pemimpin utama PAS.

Desas-desus diperingkat akar umbi PAS membayangkan wujudnya usaha "rahsia" untuk menggulingkan kepimpinan sedia ada parti itu bagi digantikan dengan pihak yang "mahu dengar kata" serta bersekongkol dengan DAP dan PKR.

Dengan kewujudan PasMa yang menggasak kepimpinan Abdul Hadi dari dalam, ia turut membayangkan kebenaran yang dikatakan melalui desas-desus berkenaan.

Kini, PAS sedang berjuang mahu melaksanakan hudud di Kelantan dan ditentang keras DAP, manakala DAP pula mahu melaksanakan pilihanraya PBT dan ia ditentang keras PAS yang mengaitkan hal itu dengan keharmonian kaum serta peristiwa 13 Mei 1969.

Terbaru, Ketua Menteri Pulau Pinang dalam kenyataannya yang dipetik dari sebuah akhbar berbahasa Cina dilaporkan telah menyerang PAS Kelantan yang dikatakan sama sekali menangani masalah banjir besar yang berlaku di negeri itu.

Katanya, kalau "bersih" sekali pun kerajaan PAS di Kelantan, itu tidak cukup sekiranya gagal berkhidmat untuk rakyatnya.

Penulis tidak tahu apa yang Guan Eng sakit hati sangat dengan PAS di Kelantan. Sama ada isu hudud atau kerjasama yang terjalin di antara kerajaan negeri itu dengan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang turun dari peringkat pusat menghulur bantuan menyeluruh di negeri tersebut.

Pada pandangan penulis, isu hudud adalah hak eksklusif agama Islam sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan negara, manakala kerjasama dengan Kerajaan Pusat itu adalah atas dasar "demi rakyat" yang dilanda musibah yang terburuk dalam sejarah negara.

Jika Guan Eng benar-benar seorang ahli politik yang ikhlas sebagai warganegara, dia sepatutnya tidak mempersoal tentang hudud atas dasar hormat pada perlembagaan dan kontrak sosial.

Dan jika dia "menyerang" Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha menangani musibah banjir, pada pandangan penulis, Ketua Menteri itu jelas tidak sensitif dengan penderitaan rakyat dan kemampuan kerajaan negeri yang terbatas atas musibah yang sangat dahsyat dan tidak dijangka.

Namun begitulah kata orang, "kalau sudah benci, yang baik pun dilihat buruk". Dan mungkin begitu juga dengan Guan Eng dan DAP, "kalau mereka sudah bencikan PAS, buatlah macam mana sekali pun, PAS tetap buruk, teruk dan hina" di pandangan mata mereka.

Mujurlah ada saudara yang bernama UMNO dari Kerajaan Pusat yang sudi membantu dan membela. Walau sebelum ini dimaki hamun dan digelar "setan", saudara seagama itulah yang bersusah payah turun membantu sedaya mungkin...

Begitulah senario PAS yang terkini di mata penulis. Kasihan, kan?

Apapun, penulis tidak dapat berbuat apa-apa berhubung hal ini dan hanya mampu memberi sedikit analisis dan pandangan. Lagipun, penulis bukan ahli atau anggota mana-mana parti politik. Kita doakanlah saja yang terbaik untuk negara demi masa depan Islam, bangsa Melayu dan Tanah Melayu... -Amir Hamzah/Utaranews.com