ALOR SETAR - Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza menafikan dirinya
merupakan wanita ketiga terkaya di Malaysia sebagaimana yang didakwa sebuah laman web yang
menyenaraikannya bersama empat wanita lain.
Diva negara itu turut menegaskan bahawa beliau terkejut dengan dakwaan laman web itu kerana ianya
sedikit sebanyak memberi kesan terhadap keselamatan dirinya.
"Saya terkejut dengan laporan tersebut. Walau macam mana pun, saya
berdoa untuk bergelar seorang wanita terkaya. Itu impian dan cita-cita.
Belum lagi sampai ke tahap itu tapi sedang berusaha ke arah itu.
"Andaian mereka itu membuatkan keadaan jadi berbeza, dari segi
keselamatan. Iyerlah, saya faham kadang-kadang mereka menggambarkan yang
hebat-hebat tetapi realitinya biasa-biasa sahaja,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Media sebelum ini pernah menyiarkan artikel yang turut menyenaraikan pelakon
Hollywood kelahiran Malaysia Datuk Michelle Yeoh berada di kedudukan
kedua dan atlet skuasy nombor satu dunia, Datuk Nicol David di tempat
kelima.
Pada pandangan Kedahnews, rasanya dengan pembabitan selebriti bersuara lunak itu, sememangnya tidak dapat dinafikan sekiranya beliau layak bergelar jutawan setelah lama berkecimpung dalam industri hiburan, apatah lagi kini sedang giat menjalankan perniagaan.
Namun, mungkin benar dakwaan Siti bahawa beliau bukanlah wanita ketiga terkaya di Malaysia sebagaimana yang digembar-gemburkan sebelum ini.
Biar apa pun dakwaan terhadap beliau, kami yakin bahawa nama Siti Nurhaliza terpahat kukuh sebagai salah seorang penyanyi Diva kesayangan rakyat Malaysia dan layak dijadikan contoh kepada penggiat industri hiburan yang lain.
Beliau berada pada kelas yang tersendiri dan boleh dikatakan hampir bebas dari sebarang kontroversi negatif, kan? Bak kata Melodi, tingkatkan prestasi, kurangkan kontroversi, Siti benar-benar memiliki sifat berkenaan. Tahniah dari kami. -Kedahnews.com