Soalan "Cepumas" Untuk Umat Islam: Apa Bezanya Manusia Dengan Haiwan?


SEDIKIT teka-teki untuk di­kongsi bersama. Apa be­zanya antara haiwan dan manusia? 

Haiwan, bangunnya spesies itu di pagi hari hanya memikirkan untuk mengisi perut tetapi bangunnya manusia dengan matlamat yang satu iaitu menjadi hamba dan Khalifah Allah yang cemerlang. 

Ini yang membezakan manusia dengan haiwan. Jika manusia hanya pedulikan perut atau poketnya semata-mata, apalah bezanya mereka dengan haiwan!

Sesungguhnya Allah adalah Tuhan yang sangat Pemurah dan Penyayang. Buktinya Dia tidak melepaskan manusia terbiar di dunia selepas penciptaannya sebagaimana terlepasnya haiwan ternak tanpa tuan. 

Allah mengetahui manusia jauh lebih mulia daripada haiwan, lalu dikirim kepada manusia ‘buku panduan’ yang memandu mereka ke jalan lurus. Buku itu tidak lain adalah al-Quran yang dilimpahi keberkatan dan kebaikan berganda.

Firman Allah dalam Surah Al-An’am ayat 92: 
“Dan ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, (yang mengandungi berkat iaitu banyak faedah dan manfaatnya), lagi mengesahkan kebenaran (Kitab-kitab Suci) yang diturunkan sebe­lumnya, dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk ‘Ummul-Qura’ (Makkah) serta orang yang tinggal di kelilingnya; dan orang yang beriman kepada hari akhirat, mereka beriman kepada al-Quran, dan mereka tetap mengerjakan dan memelihara sembahyangnya.”
Keberkatan al-Quran tidak mampu disangkal. Lihat sahaja bangsa Arab, sebelum datangnya al-Quran, mereka bangsa tak laku gadai. Mati mereka tidak ditangisi, wujud pula hina dalam gelaran jahiliah.

Setelah Rasulullah SAW dimuliakan dengan al-Quran, nasib bangsa Arab terus berubah dalam putaran 360 darjah. Mereka mengatur langkah bangga menuju mercu tamadun dunia. 

Pastinya langkah maju mereka bukan disebabkan air jampi yang sudah ditenagakan 30 juzuk al-Quran seperti promosi sesetengah kapitalis agama moden, tetapi maju mereka kerana penghayatan terhadap ‘buku panduan’ kiriman Allah ini.

Bangsa Arab yang ditenagakan dengan isi sebenar al-Quran terus mengalahkan bangsa Ahli Kitab yang jauh lebih awal menerima kitab langit setelah amanah memelihara kesucian Kitab Allah pada mereka dicemari. Kemuliaan pemegang wahyu dianugerahkan pula kepada umat Islam.

Pun begitu, jangan salah faham bahawa keberkatan al-Quran hanya untuk ‘jampian’ atau untuk dijulang junjung atas kepala sebagai tanda penghormatan sahaja. Sebaliknya, keberkatannya yang berganda hanya dirasakan kelazatannya sekiranya dihidupkan dalam jiwa setiap Muslim.

Firman Allah dalam Surah Sad ayat 29: 
“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), - kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”
Jumaat lalu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar semua program anjuran istana dan pentadbiran kerajaan negeri itu dimulakan dengan membaca beberapa petikan ayat al-Quran berserta maksudnya.

"Ini adalah sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan apresiasi ummah begitu juga sebagai usaha untuk menangani sebarang salah faham masyarakat umum terhadap al-Quran. 

"Ayat yang dipilih tidak perlu panjang tetapi ayat-ayat tersebut hendaklah terdiri daripada ayat-ayat yang ada kaitan dengan sesuatu acara yang dianjurkan," titah baginda semasa mengurniakan watikah kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Me­layu Perak (MAIPk), Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin dan 21 ahli majlis di Kompleks Islam Ipoh.

Seruan baginda itu adalah suatu seruan bernas daripada seorang ketua agama Islam negeri. Tuanku tampak sedar betapa al-Quran semakin terhakis peranannya daripada pandangan sesetengah anggota masyarakat.

Benar sekali, al-Quran adalah penawar hati kepada seribu satu masalah ummah. Hati manusia seumpama pusat kerajaan yang mengatur urus segala urusan badan. Pusat pentadbiran terbaik adalah yang mengikut panduan 

Pencipta manusia kerana akal semata-mata tidak mampu menangani dan mengendalikan segala perkara terutamanya membabitkan perihal ghaib merangkumi dosa pahala dan alam akhirat.

Jika umat Islam semakin menjauhi ubat iaitu al-Quran, antibodi iman mereka menjadi semakin lemah. Apabila antibodi iman sudah lemah, senang sahaja penyakit hati bawaan tentera nafsu yang bergabung dengan tentera syaitan me­nyerang masuk.

Untuk itu beberapa langah perlu diambil bagi merealisasikan saranan Tuanku Raja Nazrin. Berdasarkan pengalaman bergelumang selama hampir 22 tahun dengan kalam Allah ini, penulis simpulkan beberapa langkah bagi menghidupkan al-Quran dalam jiwa setiap Muslim:

* Menyakini sepenuh hati bahawa al-Quran adalah kitab petunjuk (hidayah) yang menjadi pembimbing manusia sepanjang zaman dan cuba mencari petunjuk dalam setiap ayatnya, al-Baqarah: 2 dan 185; al-A’raf: 52; Yunus:57; al-Nahl :101-102; al-Naml :1-2; Luqman :2-3; dan Fussilat:44.

* Beriman kepada al-Quran secara menyeluruh dan tidak hanya selektif pada sesetengah isu sahaja. Sikap selektif dalam beriman kepada arahan Allah mengundang celaan sebagaimana yang menimpa orang Yahudi (al-Baqarah:85 dan al-Hijr :89-91).

* Senantiasa membaca al-Quran dengan tujuan tadabbur atau penghayatan. Pembacaan al-Quran secara konsisten akan membuka ba­nyak pintu ilmu dan hidayah baru (al-Naml :91-92).

* Mengutamakan hak Allah pada setiap ayat dengan memahaminya mengikut konteks (siyaq) yang sebenar terlebih dahulu. Kegagalan memahami kehendak sebenar ayat akan menutup makna sebenar yang mahu disampaikan Allah. Sudahnya al-Quran bakal menjadi “cincin kepada si kudung.”

* Menghormati ilmu al-Quran sebagai satu bidang yang memiliki kepakaran khusus. Bukan semua orang layak berbicara tentang al-Quran. Sebarang kekeliruan berkaitan al-Quran perlu segera dirujuk kepada pakarnya.
Mudah-mudahan, dengan me­ngi­kut panduan ringkas ini, kita akan benar-benar menjadi hamba Allah yang terkehadapan dalam beriman dan menghidupkan al-Quran dalam kehidupan kita.

*ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ, PENULIS ialah Pensyarah di Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia/Utusan