Kedahnews.com yakin bahawa tidak ramai yang tahu tentang kisah sahabat Rasulullah, Bilal bin Rabah RA, selain dari kisahnya diseksa tuannya sebelum dimerdekakan Saidina Abu Bakr As-Siddiq RA dan menjadi muazzin pertama dalam sejarah Islam.
Justeru itu, ingin kami kongsikan di sini kisah Bilal yang telah dijamin syurga oleh Rasulullah SAW itu supaya dapat dimanfaatkan kepada seluruh umat Islam di akhir zaman ini.
Diriwayatkan oleh para ahli sejarah Islam bahawa setelah kewafatan Rasulullah SAW, Bilal bin Rabah RA enggan lagi menjadi muazzin di Masjid An-Nabawi As-Syareef dan beliau telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke negeri Syam.
Pada suatu malam di dalam tidurnya, Bilal dikatakan telah dihadiri oleh satu susuk tubuh yang sangat dicintai dan dirinduinya. Susuk tubuh itu tidak lain dan tidak bukan adalah kekasihnya, Muhammad bin Abdullah!
Di dalam mimpi tersebut, Baginda SAW telah bertanya kepada Bilal...
"Wahai Bilal, adakah kau telah melupakan aku wahai Bilal..?"
Lalu Bilal menjawab...
"Wahai Rasulullah, mana mungkin aku melupakan kamu wahai Rasulullah. Malah aku terlalu rindu kepada mu ya Rasulullah..!"
Lalu Rasulullah SAW menjawab kembali..
"Tidak, kamu tipu wahai Bilal. Jika kamu mencintai dan merinduiku, kenapakah engkau meninggalkan aku seorang diri di Madinah wahai Bilal? Tidak mahukah engkau menemani dan menemui aku Bilal..?"
Jawapan Rasulullah SAW itu telah menyebabkan Bilal RA terjaga dari tidurnya dan secara spontan airmata mengalir laju dari kelopak matanya. Bilal menangis semahu-mahunya sehingga tertidur.
Bingkas bangun seawal subuh keesokkan harinya, Bilal memutuskan untuk berangkat kembali ke Madinah dengan menunggang unta hingga sampai ke sempadan madinah.
Sebaik sahaja tiba di kota Islam itu, beliau turun dari untanya lalu merangkak hingga sampai ke makam Rasululah SAW sambil menangis teresak-esak kerana terlalu rindukan kekasihnya, MUHAMMAD BIN ABDULLAH!
Kemudian datanglah Khalifah Islam yang pertama, Saidina Abu Bakr As-Siddiq RA lalu beliau meminta Bilal untuk melaunkan azan kerana sudah masuk waktu solat Zohor.
Lalu Bilal menjawab...
"Wahai Khalifah, sesungguhnya aku telah berhenti menjadi muazzin kerana aku hanya menjadi muazzin pada zaman Rasulullah SAW.." katanya lalu beliau beredar dalam kehibaan.
Kemudian beliau terjumpa pula dengan Saidina Umar Al-Khattab RA yang kemudian turut meminta tindakan yang sama kepada Bilal.
Maka Bilal sekali lagi menjawab...
"Wahai Tuan, sesungguhnya ramai yang takut akan ketegasan mu, namun aku tidak takut kepada mu. Aku hanya menjadi muazzin di zaman Rasulullah SAW sahaja,"
Lalu ketika itu datanglah kedua-dua cucu Rasulullah iaitu Saidina Hassan dan Saidina Hussein RA seraya mereka berkata...
"Pakcik Bilal..tolonglah azan. Kami rindukan datuk kami. Sekiranya pakcik yang melaungkan azan, maka terubatlah sedikit kerinduan kami,"
Terharu dan tersentuh dengan permintaan kedua cucu Rasulullah itu lalu Bilal berkata..
"Sesungghnya aku telah menolak dua permintaan dari sahabat-sahabat paling rapat baginda, tetapi kamu adalah kesayangan baginda. Mana mungkin aku menolak permintaan ini"
Lalu Bilal bin Rabah naik ke menara untuk melaungkan azan sejak kesekian kalinya sejak kewafatan Rasulullah SAW.
Apabila dilaungkan kalimah "Allahu Akbar, Allahu Akbar", seluruh penduduk kota Madinah tersentak lalu mereka tertanya-tanya sesama mereka...
"Apakah adakah itu suara bilal bin rabah..?! Adakah Muhammad SAW telah dihidupkan semula..?!"
Dan apabila kalimah "Allahu Akbar, Allahu Akbar" di laungkan kali kedua, seluruh penduduk kota Rasulullah itu menangis teresak-esak kerana teringatkan baginda SAW dan pada hari itu maka segera mereka hadir ke masjid berkenaan.
Ketika mana kalimah "Ash-hadu Anna Muhammadan Rasulullah" dilaungkan pula, tiba-tiba Bilal bin Rabah dikatakan telah terjatuh dan menangis semahu-mahunya.
Lalu ketika itu beberapa sahabat RA telah berlari mendapatkan Bilal dan bertanya...
"Wahai Bilal, mengapa kamu berhenti wahai Bilal..?
Lalu Bilal menjawab...
"Ketika mana aku melaungkan nama MUHAMMAD, aku ternampak Baginda SAW keluar dari rumahnya dan berjalan menuju ke sini utk solat bersama kita seperti mana biasa"
Mendengar jawapan Bilal RA itu, maka semua sahabat RA yang hadir menangis teresak-esak bersamanya akibat terlalu rindu mereka kepada kekasih Allah itu...
Meskipun terdapat sedikit khilaf dalam pandangan para ilmuwan Islam mengenai kesahihan kisah Bilal itu, namun ramai ulama sepakat dengan riwayat berkenaan.
Biar apapun, Kedahnews.com benar-benar tersentuh dengan kisah berkenaan dan bergenang airmata mengenangkan kerinduan terhadap Rasulullah SAW selama ini.
Sebelum ini, kita sering merindui anak, isteri, suami, tunang, kekasih, sanak-saudara dan sahabat handai. Namun berapa kerapkah kita rindukan kekasih Allah itu?
Sewajarnya kita patut malu dengan pohon tamar yang menangis rindukan Rasulullah SAW...
Kita wajar cemburu pada seekor unta yang berkesempatan mengucup kaki Rasulullah SAW...
Apakah kita akan bertemu Rasulullah SAW di akhirat atau di syurga kelak?
Soalnya, layakkah kita masuk syurga? Layakkah kita mendapat syafaat dari baginda SAW sedangkan lain yang diajar Rasulullah SAW, lain pula yang kita amalkan selama hidup kita?
Renung-renungkanlah dan jom muhasabah diri sedalam-dalamnya. Wallahua'alam. -Kedahnews.com