Suami adalah pemimpin dalam rumah tangga disebabkan amanah Allah SWT kepada mereka daripada aspek fizikal. Disebabkan aspek fizikal lelaki yang mengatasi kaum wanita, suami wajib bekerja menyara keluarga.
Dengan kata lain, duit suami adalah duit keluarga, manakala duit isteri (jika isteri bekerja) adalah milik isteri dan suami tiada hak atas duit isteri melainkan dengan kerelaannya.
Selain itu, suami juga sepatutnya mendahului isteri dalam aspek ilmu pengetahuan berkaitan agama (akidah, akhlak dan syariat).
Suami yang jahil agama seumpama nakhoda kapal yang buta ilmu pelayaran. Akibatnya seluruh anggota kapalnya sesat dan mati ditelan ombak ganas di laut.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.
Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya.
Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).
Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. (al-Nisa’:34)
Selain memberikan tanggungjawab kepimpinan kepada suami, ayat ini memandu suami dalam mendidik isteri yang dikhuatiri derhaka. Antara caranya adalah:
1. Menegur dengan baik. Jika tiada perubahan suami menggunakan kaedah kedua,
2. Mengasingkan tempat tidur atau ia kiasan tidak menyetubuhi isteri. Jika isteri masih tiada perubahan suami menggunakan kaedah ketiga,
3. Memukul isteri dengan pukulan ringan yang tidak menyakitkan atau tidak mencederakan. Suami tiada hak dan tidak boleh memukul dengan kayu, tongkat atau rotan. Sebarang pukulan tidak boleh menyentuh muka kerana muka adalah lambang kemuliaan insan.
Suami boleh sekadar memukul manja seperti menjentik bahu atau menepuk punggung. Tujuan pukulan adalah untuk mendidik bukan untuk menyakitkan.
Suami yang terbaik ialah yang menahan diri daripada memukul isteri |
Walau bagaimanapun, suami terbaik adalah yang menahan diri daripada memukul isteri. Bahkan, Imam al-Bukhari menamakan satu Bab dalam Kitab Sahihnya dengan “Bab makruh memukul isteri.” (rujuk Sahih al-Bukhari)
Musuh Islam selalu menggunakan ayat pukulah isteri ini bagi menunjukkan Islam menindas wanita. Perlu ditegaskan ayat ini perlu difahami bersama hadis Rasulullah SAW dan huraian para ulama.
Akhirnya diingatkan para suami agar jangan melampaui batas memegang ego memulau atau mencari kesalahan isteri walaupun mereka sudah berubah dan insaf.
Usahlah sombong wahai suami dengan tidak memaafkan kesilapan isterimu kerana Allah Yang Maha Tinggi, lagi Maha Besar (hujung ayat 34 di atas) pun boleh mengampunkan dosa hamba-Nya yang bertaubat. Inilah antara hikmah mengapa Allah menutup ayat ini dengan dua namanya yang maha hebat itu. Subhanallah!
Sumber: Utusan