LONDON – Penyandang juara Piala FA, Arsenal menempah pertembungan
menarik menentang satu lagi gergasi, Manchester United di suku akhir
selepas undian yang dikeluarkan, awal pagi tadi.
Undian yang dibuat sebelum sepak mula perlawanan pusingan lima
membabitkan Man United dan Preston itu menyaksikan Gunners sah
berkunjung ke Old Trafford sejurus perlawanan berakhir.
United menang perlawanan itu 3-1 menerusi kebangkitan yang
ditampilkan pada babak kedua untuk bertemu Arsenal yang kali terakhir
ditentang di peringkat suku akhir pada 2011 yang berakhir kemenangan 2-0
buat United.
Arsenal menewaskan Hull City untuk menjuarai Piala FA musim lepas
yang menamatkan kemarau sembilan tahun tanpa sebarang kejuaraan yang
kali terakhir dimenangi sebelum itu pada 2005 – ironinya menewaskan
United di final Piala FA.
Undian itu dijalankan oleh pengurus England, Roy Hodgson dan anak kepada legenda Preston, Tom Finney iaitu Brian Finney.
Kelab yang diberi gelaran ‘pembunuh gergasi’ Bradford yang sebelum
ini menyingkirkan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea diundi
bertemu kelab divisyen dua, Reading.
Selain Chelsea, satu lagi kelab EPL, Sunderland turut menjadi mangsa Bradford di pusingan lima pada pertemuan, kelmarin.
Dalam pada itu, peluang Liverpool untuk menghadiahkan kaptennya,
Steven Gerrard aksi di Wembley pada ulang tahun hari lahirnya yang ke-35
kian menyala apabila dijadual menentang kelab Liga Kejuaraan, Blackburn
di Anfield.
Gerrard sebelum ini membuat kejutan selepas mengesahkan akan
meninggalkan Liverpool untuk menyertai kelab Amerika Syarikat, Los
Angeles Galaxy di penghujung musim ini dengan penampilan di final Piala
FA menjadi penutup kerjaya sempurna buatnya.
Satu lagi pertembungan membabitkan dua kelab EPL ialah Aston Villa yang diundi bertemu West Bromwich Albion di Villa Park. – AFP
Jadual perlawanan suku akhir Piala FA
- Liverpool mln Blackburn
- Bradford mln Reading
- Manchester United mln Arsenal
- Aston Villa mln West Brom