KUANTAN – Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah bertitah menyeru umat Islam
di negeri ini agar mencontohi perjuangan Nabi Muhammad SAW yang
sentiasa meletakkan soal perpaduan sebagai agenda utama umat Islam.
“Umat Islam hendaklah mengambil contoh daripada perjuangan Rasulullah
SAW dalam soal perpaduan agar pendekatan baginda dapat dilaksanakan di
negara ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan majlis
sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Pahang anjuran Jabatan Agama
Islam Pahang (JAIP) dengan kerjasama kerajaan negeri, yang berlangsung
di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini semalam.
Turut berangkat Sultanah Pahang Sultanah Kalsom, Tengku Mahkota
Pahang Tengku Abdullah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Maimunah
Iskandariah.
Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.
Baginda bertitah, kesedaran pentingnya perpaduan dan penyatuan di
kalangan masyarakat amat diperlukan demi mencapai matlamat menjadikan
orang Islam sebagai umat yang cemerlang.
Sementara itu, Adnan meminta ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa
memantau serta mengawasi anak-anak mereka agar tidak terpengaruh dengan
ajaran songsang yang kian menular melalui laman sosial masa kini.
Beliau menjelaskan ramai di kalangan belia kini taksub dengan ajaran
agama Islam di internet tanpa menyedari ada yang menyeleweng sehingga
menimbulkan kekeliruan seterusnya merosakkan akidah.
“Berita penahanan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang kerana
dipercayai terbabit dalam kumpulan militan IS di Syria baru-baru ini
amat mengejutkan kita.
“Remaja terbabit dipercayai terpengaruh dengan individu yang baru
dikenalinya melalui laman sosial dan ini menunjukkan penggunaan internet
yang mendatangkan faedah juga boleh memudaratkan jika disalah guna,”
katanya. – BERNAMA