Susah Sangatkah Kembali Hidup Cara Islam?


WUJUDNYA semula pusat perjudian haram bukan suatu yang mengejutkan kerana kegiatan sebegini akan terus tumbuh subur kerana mekanisme pasaran.

Ada permintaan maka adalah penawaran. Judi haram jika diban­dingkan dengan judi halal di pusat perjudian tertentu ibarat kita mahu makan sedap di hotel atau makan sedap di warung.

Rasa makanan sama tetapi cuma harga dan tempat lebih eksklusif. Hari ini judi menyebabkan banyak keluarga berantakan kerana wang yang perlu diperuntukkan untuk keluarga digunakan untuk ‘pelaburan’ jangka pendek di mesin slot mahu pun mesin kuda.

Semasa penulis di zaman remaja mesin judi sebegini telah lama bercambah dan ia tumbuh bagaikan uban. Dicabut satu yang menjadi putih semakin banyak di kepala.

Jika ada yang bertanya mengapa kegiatan ini masih berleluasa ia memerlukan pemerhatian pihak media dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM ) secara berkala ke setiap kawasan di mana wujudnya kegiatan perjudian haram ini.

Ia ibarat orang yang malu dikatakan buruk perangai tetapi dalam masa sama tidak mahu berubah. Judi ibarat dadah yang menyebabkan orang yang mengambilnya menjadi ketagih hinggakan jika tidak melihat pintu kedai mesin kuda mereka boleh demam.

Semua gejala sosial akibat judi ini wujud kerana masyarakat tidak mahu mengikut ajaran agama masing-masing kerana menganggap agama bukan cara hidup tetapi sekadar upacara dalam hidup.

Agama pada mereka adalah nikah kahwin, puasa, tidak mengata orang dan tidak menipu. Sedangkan akibat judi amat buruk kerana duit yang diusahakan oleh diri sendiri mahupun ibu bapa hilang entah ke mana.

Setahu penulis yang tidak tahu bagaimana bermain blackjack mahupun roulette dan poker semua agama tidak membenarkan kita bermain judi sebagai satu cara hidup mahupun menjadi sumber rezeki kehidupan seharian.

Dengan berlambaknya sekolah di negara ini mengapa ada juga orang kita yang ghairah bermain judi tanpa mahu bekerja menggunakan skil berfikir dan kemahiran yang dipelajari di pusat kemahiran semasa muda.
Sebahagian pegawai dan anggota polis memeriksa mesin permainan hiburan yang bernilai RM5,000 setiap satu dan menahan 200 orang ketika operasi besar-besaran dilakukan Unit Tindakan Khas Jenayah Terancang, Skuad Taktikal 3 Perjudian/ Maksiat/ Kongsi Gelap (STAGG) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di Lorong Madras, Georgetown, baru-baru ini.
Kata pujangga jangan bermain api nanti membakar diri. Judi seperti api yang sudah pasti akan memusnahkan siapa yang cuba bermain dengannya.

Rasanya tidak pernah wujud di mana-mana negara di dunia sekolah mahupun institusi pengajian tinggi khusus untuk mengajar rakyatnya bermain judi kerana kita telah diajar sejak dari kecil oleh ibu bapa duit belanja sekolah jangan beli permainan judi tikam.

Oleh itu, jika kita bermain sesuatu yang kita bukan ahli tanpa ilmu sudah pasti kita menempa nama untuk menjadi manusia yang bakal berhadapan dengan kegagalan.

Dalam Islam sendiri judi adalah dalam kategori bertenung nasib dan merupakan salah satu tujuh dosa besar selain membunuh dan syirik kepada Allah SWT. Mengapa berjudi jika hanya menempah kepada kebinasaan di dunia dan akhirat?

Seharusnya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu kita kembali kepada konsep beragama terutama sebagai muslim sejati. Hindari diri daripada memakan harta yang haram hasil berjudi.

Bekerjalah dengan niat kerana Allah dan bukannya kerana kepuasan diri sendiri. Jika kita hidup hanya mahu berseronok percayalah bahawa kita sedang melayan nafsu serakah yang tidak pernah akan dapat dipuaskan.

Bayangkan situasi, di mana apabila kita menang judi kuda sebanyak RM100 kita tidak akan pernah berpuas hati kerana di situlah ha­sutan iblis akan masuk untuk kita menambah lagi nilai ‘pelaburan’ jangka pendek tersebut.

Kesudahannya modal lesap untung langsung tak melekat. Bila duit habis mulalah mencari ah long untuk membuat pinjaman luar jangka dengan bunga ibarat cen­dawan selepas hujan.

Semakin banyak apabila semakin banyak pinjaman pokok dibuat.Bila tidak mampu bayar, ah long datang mengejar hingga semua harta dirampas dan tidak cukup dengan itu keluarga diganggu dan diugut.

Begitu ngeri impak judi haram jika kita masih mahu membiarkan ia terus kembali meriah.

Kepada pihak berkuasa mungkin inilah masanya kita kembali bertindak untuk membasmi judi haram kerana kesannya bukan setakat sehari dua tetapi sehingga berpuluh tahun akan datang. Judi tidak kira di komputer mahupun manual pe­rosak institusi keluarga.

Kepada tahi judi yang ingin membuat pusingan U kembalilah kepada agama anda yang menganjurkan kebaikan dan cara hidup yang lebih murni. Biarlah hidup susah tetapi diredai oleh Tuhan. Di masa kita mampu menghindari judi maka hindarilah kerana sekali terjebak sukar untuk berundur lagi. -Utusan