DEFINISI berhias untuk kelihatan cantik atau tampan sememangnya kabur. Lelaki atau perempuan mempunyai pandangan yang berbeza apabila bercakap topik berkaitan kecantikan.
Ada yang melihat cantik apabila memiliki sepasang kaki yang panjang dengan betis bak bunting padi, tubuh ramping dengan pinggang bak kerengga atau rambut panjang ikal mengurai, ditambah pula dengan warna menarik.
Mungkin juga ada yang melihat kecantikan itu sekiranya memiliki warna kulit yang putih mulus, berhidung mancung, mata bundar dan badan sasa.
Apa yang pasti, definisi kecantikan itu kini semakin bercelaru dengan adanya rangsangan atau usaha baharu untuk kelihatan cantik seperti melakukan pembedahan plastik, memakan produk kecantikan dan berfesyen untuk tampak lebih menonjol.
Begitu pun, kecelaruan tersebut tidak pernah menjadi halangan kepada setiap manusia untuk terus berhias bagi kelihatan cantik.
Islam sendiri tidak pernah menghalang lelaki atau wanita Muslim berhias untuk kelihatan cantik dan tampan. Ini sejajar dengan Islam sendiri yang menyeru kepada kecantikan dan keindahan.
“Rasulullah SAW sendiri sering menjaga penampilan diri agar sentiasa kemas dan rapi. Ia seiring dengan ajaran Islam yang jelas tidak mahu umatnya nampak selekeh.
“Tetapi usaha berhias untuk kelihatan cantik tersebut perlu selari dengan garis panduan agama Islam,” demikian tegas pakar psikologi Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Fariza Md. Sham, dalam satu pertemuan di pejabatnya, baru-baru ini.
Tambah Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam UKM, tidak menafikan bahawa soal tabarruj (berhias diri) itu lebih banyak menyentuh kaum wanita berbanding lelaki.
Namun tegasnya, Islam turut menyediakan garis panduan kepada kaum lelaki yang gemar berhias untuk kelihatan tampan dan kemas.
“Seperti kaum wanita, orang lelaki perlu juga menjaga kebersihan dan kesihatan anggota tubuh badan mereka.
“Tetapi pada masa sama, soal aurat mereka tidak seharusnya dibiarkan untuk tatapan kaum wanita yang bukan muhrim atau mahram,” jelasnya.
Bagi wanita Muslim kata Dr. Fariza, usaha berhias itu selalunya dikaitkan dengan tiga bentuk tabarruj iaitu pertama; barang kemas, mutiara atau permata. Kedua; pakaian (baju, tudung, beg tangan atau kasut) dan ketiga; kosmetik (bedah, minyak wangi dan gincu).
Namun, berdasarkan trend semasa, satu lagi bentuk tabarruj adalah anggota atau tubuh badan wanita yang membabitkan aspek rambut, kulit, kuku atau bahagian dalaman wanita (aurat).
“Ini kerana bentuk kejadian fizikal lelaki dan wanita adalah berbeza. Allah SWT jadikan fizikal wanita dalam keadaan mempunyai ciri-ciri kecantikan dan keindahan semula jadi.
“Perhiasan inilah yang perlu dijaga daripada segi kesihatan dan juga tidak harus diperlihatkan kepada orang lain kerana ia boleh menimbulkan fitnah dan tarikan nafsu golongan lelaki,” katanya.
Bentuk tabarruj
Sejajar dengan itu, daripada segi hukum, wanita diharuskan untuk memakai tiga bentuk tabarruj tersebut dan pada masa sama, mereka perlu memastikan tabarruj keempat itu sering berada dalam keadaan kesihatan yang terbaik.
“Dengan itu, dihalalkan untuk wanita menggunakan bahan-bahan tertentu untuk kegunaannya, seperti sutera, emas, pewangi (khusus untuk wanita yang mempunyai bau badan yang agak kurang enak).
“Dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menghalalkan sutera dan emas bagi wanita dalam kalangan umatku.” Malah daripada hadis riwayat al-Bukhari, Rasulullah bersabda kepada seorang lelaki yang ingin mengahwini wanita yang bermaksud: Berilah wanita itu walaupun sebentuk cincin daripada besi.
Kedua-dua hadis ini membuktikan bahawa, wanita harus memakai barang perhiasan.
Persoalannya setakat mana ia diharuskan kerana ia boleh jadi haram sebagaimana dinyatakan di dalam surah An Nur: 31 yang bermaksud:
Katakanlah kepada wanita-wanita beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya.
Jelas Dr. Fariza yang dimaksudkan dengan ungkapan kecuali yang biasa nampak adalah membabitkan tapak tangan dan wajah. Anggota dalaman atau aurat tidak boleh diperlihatkan kepada bukan muhrim atau mahram.
“Bagaimanapun, tuntutan tersebut tidak bermakna anggota badan yang aurat itu tidak perlu dijaga kebersihan dan kesihatannya kerana pengabaian sedemikian dibimbangi akan menjejaskan amalan ibadat dan hubungan suami isteri dalam rumah tangga,” terangnya.
Bina keyakinan diri
DI samping kaum wanita, golongan lelaki kini turut bersikap terbuka dalam soal-soal berhias bukan hanya untuk kelihatan kemas dan tampan tetapi juga bagi kesihatan anggota badan.
Antara faktor yang membawa kepada keterbukaan itu adalah peranan media massa yang banyak mempromosikan aspek kebaikan berhias tersebut, selain kewujudan spa menawarkan perkhidmatan bersesuaian untuk kaum lelaki.
Ini diakui sendiri oleh pemilik Sado Men Spa, Hisham Abdul Talib dan Mohd. Shahrizal Razali yang ditemui di kedainya di Pandan Indah, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sado Men Spa hanya menawarkan rawatan kesihatan dan kecantikan untuk kaum lelaki. Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah rawatan wajah (facial), bekam, mandi sauna, melangsingkan badan (slimming) dan urutan badan. Kesemua perkhidmatan ini ditawarkan pada harga yang berpatutan.
“Ramai pelanggan yang datang atas sebab untuk menjaga kesihatan kerana mereka mahu memastikan urusan kerja dan ibadat mereka tidak terganggu.
“Lebih penting lagi, mereka mahu ada keyakinan diri untuk berdepan orang ramai,” kata Hisham yang merangkap Pengurus Pentadbiran Sado Men Spa.
Ambil berat
Begitu pun, kata Mohd. Shahrizal, spa khas untuk lelaki, khususnya yang beragama Islam amat kurang sekali dan yang ada adalah spa bercampuran antara lelaki dan wanita.
Keadaan itu menjadi bertambah kritikal apabila ada spa lelaki yang turut menawarkan perkhidmatan yang bertentangan dengan syariah Islam.
“Ramai lelaki mengambil berat soal kesihatan muka, rambut, badan dan lain-lain tetapi tidak ada tempat kerana spa lelaki amat sukar dicari.
“Semua ini berkait rapat dengan soal aurat. Saya pasti lelaki juga sama seperti wanita, tidak akan rasa selesa untuk melalui proses rawatan di spa yang berstatus uniseks,” katanya.
Menyentuh soal berhias, kedua-dua pemilik spa lelaki tersebut mengakui bahawa antara rawatan yang paling digemari adalah rawatan wajah, bekam dan urutan badan.
Ini kerana, kedua-dua rawatan tersebut mampu menghilangkan tekanan dan memberikan keyakinan untuk berdepan dengan orang ramai.
“Rawatan wajah untuk lelaki memang sukar dan kalau pergi ke spa wanita, jarang sangat mereka menerima kerana takut fitnah dan ditangkap oleh pihak berkuasa agama,” kata mereka.
Cari ruang manjakan diri
KESEDARAN wanita untuk berhias bagi kelihatan cantik dan sihat hari ini, bukan lagi satu topik terpinggir. Malah, perbincangan tentang topik itu sering kali telah dilakukan secara lebih terbuka.
Ini membuktikan sikap keterbukaan golongan ini dalam memperkatakan tentangnya, malahan bersedia mempertahankan hak mereka untuk berhias jika ada yang berhasrat untuk menidakkan hak itu.
Perkembangan itu juga turut dicetuskan oleh kewujudan sebegitu banyak pusat rawatan kecantikan dan kesihatan yang hanya dikhaskan untuk kaum wanita.
Walaupun mungkin ada yang menganggap kewujudan pusat rawatan itu akan mendorong wanita menunjuk-nunjuk kecantikan kepada khalayak umum, namun pendirian berbeza dipegang oleh Pengarah Suri Permai Spa, Zamzana Mohd. Arifin.
Beliau menyifatkan kewujudan spa sedemikian memberikan peluang kepada wanita, khususnya beragama Islam untuk menjaga kecantikan dan kesihatan anggota badan mereka.
“Agama telah memberi panduan bahawa bagi wanita Islam, cantik itu untuk mahramnya iaitu suami, anak-anak atau ahli keluarga yang boleh lihat auratnya.
“Daripada situ, saya nampak sebenar-sebenarnya, pegangan kita untuk cantik dan sihat itu sangat kuat motivasinya untuk keluarga.
“Jadi, kenapa wanita Islam hendak rasa malas atau takut-takut untuk berhias,” katanya ketika ditemui di kedainya di Platinum Walk, Setapak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Selaras dengan pendirian itu, Zamzana berkata, spa sedemikian memberi keselesaan kepada wanita Islam yang ingin mendapatkan rawatan untuk kekal cantik dan sihat anggota badan.
Jaminan keselesaan
Pusat rawatan milik Zamzana itu menyediakan perkhidmatan untuk menyelesaikan keinginan wanita Islam itu dalam suasana yang benar-benar tertutup untuk bukan muhrim dan bukan Islam.
“Saya selesaikan masalah itu dan galakan mereka berhias bagi kelak cantik untuk keluarga yang disayangi dan semasa mereka melalui proses itu, aurat mereka terpelihara. Tidak timbul soal akan bertembung dengan pelanggan lelaki,” katanya.
Pengalaman berpuluh tahun dalam bidang rawatan kecantikan itu telah mendedahkan beliau bahawa sebenarnya ramai wanita Islam yang ingin berhias untuk kelihatan cantik dan sihat demi keluarga mereka.
Ramai wanita Islam yang boleh menjaga penampilan luaran mereka tetapi sebaliknya bagi bahagian anggota badan yang melibatkan auratnya, khususnya daripada kalangan mereka yang bergelar isteri.
Ini kerana, tambah Zamzana, kegagalan sedemikian telah menjejaskan kestabilan aspek rohani masing-masing sama ada untuk suami, anak-anak atau Allah SWT.
“Pengalaman saya menunjukkan wanita sangat suka kecantikan tetapi mereka sendiri yang mengikat dirinya dengan aktiviti harian di rumah atau tempat kerja masing-masing.
“Mereka sepatutnya mencari masa untuk diri sendiri atau memanjakan diri mereka kerana jika mereka sihat dan cantik, ia lebih mudah untuk uruskan rumah tangga atau tempat kerja,” katanya.
Sebab itulah bagi Zamzama, bukan hanya aspek rawatan yang diberikan keutamaan tetapi apa yang lebih bagus, pelanggannya dapat mencari kerehatan sepanjang membuat rawatan. -Utusan