Para peniaga di negeri ini digesa menurunkan harga barangan sejajar
dengan penurunan tarif elektrik yang diumumkan kerajaan, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan
Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata, para peniaga kini tidak
lagi mempunyai alasan untuk tidak menurunkan harga jualan berikutan
pengumuman itu.
“Kita amat menyambut baik penurunan tarif elektrik dan kita mohon
pengilang dan pembekal supaya menurunkan harga bagi mengurangkan bebanan
golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.
Tee berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan
mesyuarat persediaan musim perayaan Tahun Baharu Cina 2015 bersama
pembekal, pengedar dan agensi, di sini hari ini.
Mesyuarat Kabinet memutuskan untuk menurunkan tarif elektrik dengan
kadar Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak 2.25 sen/kWj bagi
pengguna di Semenanjung Malaysia, berkuat kuasa 1 Mac hingga 30 Jun
2015.
Selain itu purata kadar tarif elektrik di Sabah dan Wilayah
Persekutuan Labuan diturunkan sebanyak 1.20 sen/kWj, berkuat kuasa bagi
tempoh sama, penurunan sebanyak 3.5 peratus daripada purata kadar tarif
semasa sebelum ini.
Mengenai Tahun Baharu Cina, Tee berkata keperluan bekalan barangan di
negeri ini adalah mencukupi sepanjang menyambut perayaan tersebut.
“Sehubungan itu, kita berharap para pengguna tidak bimbang dengan
kekurangan bekalan yang dihadapi dan kita sentiasa membuat pemantauan
bagi mengelakkan ada peniaga yang sengaja menaikkan harga,” katanya.
-BERNAMA