Naib Pengerusi DAP Teresa Kok dilaporkan telah dilarang daripada memasuki
negeri Sabah oleh kerajaan negeri itu di Sandakan pada kira-kira pukul 3
petang semalam.
Ekoran itu, Teresa dilaporkan telah dihantar semula menaiki pesawat
AirAsia yang digunakan untuk ke Sandakan untuk pulang semula ke Kuala
Lumpur kira-kira 20 minit kemudiannya.
Di laman Facebooknya, Teresa menyuarakan rasa tidak puas hati
berikutan tindakan itu dan menyalahkan Barisan Nasional (BN) kerana
melarangnya masuk ke Sabah.
Menurut beliau, ketika menunjukkan kad pengenalan di kaunter
imigresen, Teresa diminta untuk pergi ke pejabat imigresen selepas
semakan dilakukan di komputer.
“Saya dibawa untuk berjumpa seorang pegawai wanita yang memakai tag nama
“DG Maimunah”. Beliau memberitahu saya bahawa saya dilarang masuk ke
Sabah.
“Saya tanya sebab larangan tersebut, tetapi tiada jawapan diberi.
“Saya kemudian panggil Stephen Wong, Ahli Parlimen DAP di Sandakan
yang sambut saya di lapangan terbang Sandakan untuk datang ke pejabat
imigresen.
“Beliau dan pembantunya masuk dan tanya pegawai imigresen sebab saya
dilarang masuk, Puan DG Maimunah hanya kata ini adalah arahan daripada
Kerajaan Negeri Sabah,” kata Teresa menerusi kenyataan di Facebook.
Menurut Teresa, beliau tidak diberitahu langsung oleh Kerajaan Negeri
Sabah berkenaan larangan beliau datang ke negeri itu sebelum ini dan
menganggap perjalanan pergi balik selama lebih kurang enam jam itu
sebagai membazir.
“Selama ini, DAP yang selalu membangkitkan perjanjian 20 perkara di
antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan yang mana termasuk kuasa
imigresen,” katanya.
Menurut Pegawai Imigresen di Lapangan Terbang berkenaan, Teresa yang
juga Ahli Parlimen Seputeh tidak dibenarkan masuk ke negeri itu atas
arahan Kerajaan Negeri Sabah.
Tidak dapat dipastikan larangan Teresa memasuki Sabah ada kaitan
dengan kes yang sedang dihadapinya dibawah Akta Hasutan kerana
menerbitkan sebuah video sempena perayaan Tahun Baru Cina tahun lalu.
Video itu dikatakan menyindir banyak pemimpin Umno BN termasuk
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak walaupun tidak dinyatakan secara
khusus.
Tidak serik dengan apa yang berlaku, Teresa sekali tampil menerbitkan video terbarunya sempena perayaan Tahun Baru Cina 2015.
Video itu menampilkan lebih banyak pelakon yang terdiri daripada kalangan pemimpin Pakatan Rakyat. -Kedahnews.com