TERKINI: Keluarga Anwar Buat Permohonan Pengampunan DiRaja


ALOR SETAR - Nampaknya Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh seolah terpaksa "ditangguhkan" buat sementara waktu apabila keluarga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor telah menghantar permohonan pengampunan DiRaja kepada Yang DiPertuan Agong.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, permohonan bagi mendapatkan pengampunan itu difahamkan telah dihantar pagi tadi.

"Permohonan dibuat oleh ahli keluarga Anwar sendiri tanpa melibatkan parti (PKR).

"Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail akan mengeluarkan kenyataan lanjut dalam masa terdekat,” katanya yang dipetik dari sebuah portal berita, sebentar tadi.

Permohonan memohon keampunan DiRaja itu dibuat setelah Anwar disahkan bersalah oleh Mahkamah Tayuan atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan, manakala rayuannya ditolak Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman.

Dengan permohonan pengampunan tersebut, ia seolah sekaligus menunjukkan bahawa Anwar secara tidak langsung mengaku bersalah atas kesalahan meliwat berkenaan.

Bernama melaporkan bahawa Anwar secara automatik akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen mulai hari ini, berikutan parti itu tetap dengan keputusan untuk tidak memohon pengampunan Diraja bagi pembebasannya, semalam.

Sementara itu, juga dilaporkan bahawa Wan Azizah dan anaknya, Nurul Nuha, telah menghantar permohonan itu ke Istana Negara, manakala seorang lagi anaknya, Nurul Izzah, telah menghantar satu surat rasmi untuk memaklumkan permohonan pengampunan Diraja itu, ke Parlimen.

Justeru permohonan tersebut, kedudukan Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh masih lagi sah sehingga Yang DiPertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memutuskan keputusan baginda bagi permohonan itu. -Kedahnews.com