KUALA LUMPUR – PAS menegaskan bahawa parti itu tidak pernah
mengeluarkan kenyataan rasmi kononnya parti itu bersolidariti ke atas
kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sumber: Mynewshub.cc
Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebaliknya
menjelaskan, satu kenyataan rasmi kononnya PAS bersolidariti dalam kes
tersebut seperti yang disebarkan sebelum ini adalah palsu.
“Assalamualaikum. Saya dengan ini mengesahkan bahawa kononnya
satu kenyataan media yang dikeluarkan atas nama Presiden PAS (Datuk
Seri Abdul Hadi Awang) bertarikh 9 Februari 2015 (mengenai isu kenyataan
rasmi parti dan solidariti terhadap kes Dato Seri Anwar) adalah palsu,
tidak benar sama sekali.
Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar |
“Pihak Dato Seri Tuan Guru (Abdul Hadi) merasa sangat kesal
di atas penyalahgunaan surat PAS dan pemalsuan kenyataan media itu.
Harap maklum,” katanya dalam satu kenyataan ringkas malam tadi.
Mahkamah Persekutuan hari ini mengumumkan hukuman penjara lima tahun
ke atas Anwar kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari
Azlan dikekalkan.
Pasukan pendakwaan sebelum ini memfailkan rayuan balas agar hukuman terhadap Anwar ditambah.
Tuduhan yang dikenakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu
membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Meskipun pimpinan PKR menyeru orang ramai menyertai solidariti ke
atas Anwar namun hanya ratusan orang yang rata-rata mereka penyokong
setia beliau hadir di perkarangan mahkamah hari ini.
Sehingga petang ini juga, tidak ramai pemimpin PAS menyatakan
sokongan ke atas Anwar kecuali Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan
Kayat yang sekadar meminta keluarga Ketua Umum PKR itu tabah menghadapi
keputusan berkenaan.