Gambar Hiasan |
GEORGE TOWN – Seorang wanita warga Indonesia bertindak nekad membakar
seorang lelaki Bangladesh kerana tidak membayar hutang seperti
dijanjikan dalam satu kejadian berhampiran Pasar Awam Kampung Baru di
Bukit Mertajam, semalam, kata polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Mazlan Kesah
berkata siasatan awal mendapati wanita berumur 35 tahun itu marah
terhadap mangsa kerana tidak membayar wang yang dipinjamnya sejak bulan
lepas.
“Mereka (wanita dan mangsa) memang mengenali antara satu sama lain
dan difahamkan wanita berkenaan telah meminjamkan sejumlah wang kepada
mangsa dan lelaki itu berjanji untuk membayarnya.
“Bagaimanapun sehingga Selasa, mangsa gagal membayar wang yang
dipinjam dan lelaki itu juga dikatakan langsung tidak menjawab pangilan
telefon wanita berkenaan sehingga membuatkan dia berang dan bertindak
membakar mangsa,” katanya kepada pemberita.
Dalam kejadian 7.50 pagi semalam, seorang lelaki Bangladesh melecur
di beberapa bahagian badan berikutan tindakan wanita terbabit.
Ketika kejadian, lelaki berkenaan dan rakan senegaranya menunggang
sebuah motosikal untuk ke tempat kerja di tapak pembinaan itu sebelum
ditahan wanita terbabit dan sebaik berhenti, wanita itu terus menyimbah
sejenis cecair dipercayai petrol ke arah mereka serta menyalakan api
pada sehelai kain dan melemparnya ke arah kedua-dua lelaki itu.
Mazlan berkata polis telah merekod keterangan rakan mangsa yang
sempat menyelamatkan diri dan dua saksi yang berada di tempat kejadian
bagi membantu siasatan kes itu.
Beliau berkata mangsa yang berusia 32 tahun dan bekerja kontrak di
tapak pembinaan itu melecur lebih 80 peratus di badannya dan masih
dirawat di Hospital Bukit Mertajam.
“Lelaki itu belum sedarkan diri dan menurut doktor yang merawatnya,
keadaan mangsa stabil walaupun kesan melecur di badannya agak teruk,”
katanya.
Beliau berkata wanita yang ditahan itu bekerja di sebuah kilang di
kawasan Perai dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut
Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – BERNAMA