PETALING JAYA – Penyanyi Mizz Nina memberitahu dia menerima banyak
tawaran untuk memberi ceramah berkaitan agama Islam sejak menutup aurat
sepenuhnya setahun yang lalu.
Bagaimanapun, Mizz Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman, 35,
berkata, dia terpaksa menolak tawaran tersebut kerana merasakan dirinya
belum layak dan bersedia ke arah itu.
“Sejak berpenampilan menutup aurat setahun lalu, saya banyak terima undangan mengadakan ceramah di majlis-majlis agama.
“Saya terpaksa tolak kerana saya tidak layak untuk bercakap soal
agama dan masih lagi belajar mendalami agama Islam, melainkan ia hanya
sekadar berkongsi pengalaman berhijrah, ” ujarnya kepada mStar Online.
Mizz Nina berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran kempen
Cantik Di Mata yang diadakan di Restoran Rebung, di sini, Rabu.
Penyanyi itu dan suaminya penyanyi Noh Salleh dilantik sebagai ikon
bagi kempen yang bertujuan memberi kesedaran tentang menutup aurat.
Sementara itu, Mizz Nina berkata, dia kini menyambung pengajian di
Yayasan Ta’lim dengan kerjasama Institut Arees, Texas, Amerika Syarikat
dalam proses mendalami Islam.
“Sekarang saya banyak habiskan masa belajar di tempat yang sama dengan Natasha Hudson iaitu di Institut Arees.
“Selain itu juga, jika ada kelas agama berkaitan mengaji Al-Quran dan tajwid saya akan sertai,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas tentang kempen menutup aurat itu, Mizz Nina
berkata, dia menganggap aktiviti tersebut sebagai salah satu cara untuk
dia berdakwah.
Kempen Cantik Di Mata bertujuan memberi kesedaran tentang menutup aurat. |
Katanya, tanggungjawabnya sebagai ikon bukan bertujuan memaksa setiap
orang menutup aurat sebaliknya memberi inspirasi kepada orang ramai
melalui penampilannya.
“Saya ditawarkan sejak sebulan lalu dan saya terima kerana ia sesuatu yang belum pernah saya lakukan sebelum ini.
“Tugas saya ialah untuk beri inspirasi kepada masyarakat tentang kehidupan disebalik berpenampilan tersebut,” ujarnya.
Kempen yang bermula 14 Februari itu dianjurkan oleh Badan Bukan
Kerajaan Islamic Aid Malaysia (AID) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim).
Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Media Jakim, Datuk Mustafa Kamal
A. Razak dan Presiden Islamic Aid Malaysia (AID), Datuk Ismail Noor. – mStar