Tindakan Astro Pecat 60 Kakitangan Dalam Tempoh 24 Jam Dianggap Kejam


KUALA LUMPUR – Astro Productions Sdn. Bhd. (Astro Productions) dikecam hebat ekoran tindakannya yang dianggap kejam kerana memecat seramai 60 kakitangan syarikat itu dalam tempoh 24 jam baru-baru ini.

Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) dalam kenyataannya mengecam tindakan Astro Productions itu dan menegaskan bahawa tindakan itu bukan saja kejam, malah tidak wajar.

“Mereka seharusnya menggunakan pendekatan yang lebih terhormat kerana pekerja-pekerja yang di berhentikan ada di antara mereka yang berkhidmat lebih 20 tahun dibuang begitu sahaja.

“Mereka yang di berhentikan berasa amat kecewa. UNI-MLC membantah sekeras-kerasnya tindakan Astro Productions dan meminta Menteri Sumber Manusia menyiasat tatacara yang diguna pakai syarikat besar itu bagi menamatkan perkhidmatan kakitangannya serta merta,” kata Presidennya, Mohamed Shafie BP Mammal, dalam satu kenyataan media semalam.

Mohamed Shafie turut menjelaskan bahawa pihaknya menerima aduan daripada pekerja yang diberhentikan tersebut setelah mereka menerima surat Penamatan Perkhidmatan Pekerja Tanpa Notis pada 30 Januari lalu.

Menurutnya, pengurusan Astro Productions bertindak memanggil 60 orang pekerja terbabit dan memberitahu bahawa perkhidmatan mereka ditamatkan serta merta dan diberi surat pemberhentian untuk ditandatangani.

Seterusnya kata Mohamed Shafie menjelaskan bahawa pekerja terbabit yang bersetuju untuk berhenti pada hari terbabit diberi pampasan dibayar pada masa yang sama. -Kedahnews.com