Tips Didik Anak: Didik Anak Ikut Edaran Zaman


SECARA umumnya, pendidikan adalah suatu proses mendidik yang dilakukan secara berterusan ke arah kebaikan. Manusia memerlukan didikan yang baik untuk menjadi khalifah di bumi Allah SWT. 

Tanpa pendidikan seimbang antara dunia dan akhirat dan juga rohani, emosi, intelek dan jasmani manusia tidak dapat menyeimbangkan keseluruhan tindakan dalam kehidupan mereka.

Isu larangan merotan anak seharusnya difikirkan semula untuk kebaikan. 

Merotan yang dilakukan oleh ibu bapa bukan bertujuan mendera tetapi lebih kepada mendidik. Ini diakui dalam Islam dan terdapat dalam sunah Nabi SAW. Ibu bapa seharusnya memberi penjelasan mengapa anak-anak dirotan.

Jelaslah, pendidikan menurut sunnah ialah segala yang disandarkan kepada Rasulullah SAW sama ada perkataan, perbuatan dan pengakuan serta sifat kejadian, akhlak dan riwayat hidup baginda, sebelum dan sesudah baginda dilantik menjadi rasul. 

Ia diriwayatkan daripada Rasulullah SAW oleh para sahabat, tabiin, seterusnya sehingga ditulis oleh ulama hadis. Umat Islam ijmak (kata sepakat) atau bersepakat, bahawa sunnah menjadi sumber hukum syariah.

Pendidikan memainkan peranan utama untuk melahirkan modal insan yang seimbang dunia dan akhirat. Anak-anak pada masa kini adalah aset yang paling penting sebagai warga negara dan pemimpin pada masa depan.

Justeru, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah menilai prestasi semasa sistem pendidikan negara dengan mengambil kira pencapaian lampau dan membandingkan dengan tanda aras antarabangsa.

Sejak belakangan ini jika dilihat daripada laporan akhbar terdapat segelintir ibu bapa yang cuai dalam pendidikan sehingga anak menjadi mangsa, malah lebih menyedihkan membawa kepada kematian yang tidak sepatutnya berlaku.

Anugerah, amanah

Anak adalah anugerah dan juga amanah Allah. Didiklah dan perbaikan budi pekerti mereka ke arah kesopanan, berakhlak mulia dan akhirnya dapat membalas jasa orang tuanya. Anak-anak kecil jangan didera disebabkan kemarahan dan kesalahan yang kecil.

Asuhan didikan yang baik melalui teguran, nasihat dan bimbingan akan menjadikan anak-anak faham erti kehidupan. Matlamat pendidikan bertujuan membawa kesejahteraan kepada individu terbabit di dunia dan akhirat.

Begitulah juga anak-anak yang tidak terdidik dengan baik dan sempurna akan menyebabkan mereka mudah terjebak dengan gejala sosial yang boleh merosakkan hidup dan masa depan lebih sejahtera ke arah membentuk tamadun bangsa yang maju pada masa akan datang.

Pendidikan itu perihal atau proses mendidik, menjaga terutama kepada anak-anak sejak anak itu lahir, remaja sehinggalah dewasa. Pendidikan mestilah meliputi didikan akidah, ibadah dan akhlak. Selain itu, pendidikan juga mestilah dapat menjamin kehidupan di dunia bagi menyara keluarga dan membantu pembangunan negara.

Beberapa tokoh pendidik berpandangan, sewaktu anak-anak masih kecil dan muda, didik serta ajar mereka tentang kebaikan dan kejayaan. Sementara itu ada pendapat mengatakan, apabila anda mengharapkan anak menjadi baik, biarkanlah mereka mendengar hal-hal yang baik mengenai mereka yang anda ceritakan kepada orang lain. 

Selanjutnya, jalan terbaik bagi membentuk anak-anak menjadi baik adalah menjadikan mereka bahagia dalam melakukan sesuatu yang berfaedah kepada dirinya.

Sementara itu dalam Islam, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: 
“Hak anak pada ayahnya adalah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila dia sudah cukup umur dan mengajarinya al-Quran.” (riwayat Al-Hakim dan Ad-Dailami).
Sementara dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 
“Suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat ketika mereka berusia tujuh tahun dan rotan mereka apabila enggan mengerjakan solat ketika mereka berusia 10 tahun dan pisahkan tempat tidur mereka.” (riwayat Abu Daud)
Perbuatan merotan di sini lebih kepada pendidikan dalam Islam bukan sampai mendera dan mencederakan. Begitulah tegasnya pendidikan dalam Islam bagi mendidik anak-anak sejak kecil dengan ibadah.

Beberapa tokoh Islam seperti Syaidina Umar Al-Khattab mengatakan, didiklah anak-anakmu itu berlainan dengan keadaan kamu sekarang kerana mereka telah dijadikan Tuhan untuk zaman yang bukan zaman engkau.

Hayati nilai murni

Hamka menjelaskan, anak adalah untuk zaman yang akan datang, bukan untuk zaman kita. Salahlah pendidikan orang tua yang hendak menjadikan anak mereka seperti mereka juga.

Selanjutnya, Khursid Akhmad menghuraikan jatuh bangunnya suatu umat bergantung pada jatuh bangunnya pendidikan, kerana jalan utama bagi persiapan masa hadapan adalah pendidikan.

Justeru, konsep dan cara pendidikan itu mestilah mengikut keadaan dan perubahan semasa. Ibu bapa wajar memahami keadaan ini dalam melaksanakan pendidikan anak-anak.

Pengajaran dan pendidikan terhadap anak adalah berbeza. Pengajaran bermaksud mengajar mereka bagi meningkatkan pengetahuan tentang sesuatu perkara.

Sementara pendidikan bermaksud didiklah mereka dalam bentuk pendidikan adab, peribadi, tingkah laku, perhatian, kasih sayang dan sebagainya. Daripada Anas bin Malik ra, menceritakan Rasulullah SAW bersabda: 
“Muliakanlah anak-anakmu dan perbaikan adab mereka.” (riwayat Ibnu Majah)
Oleh itu, adab yang dimaksudkan dalam hadis tersebut sebagai mengamalkan sesuatu yang dipuji sama ada dalam bentuk ucapan atau perbuatan.

Justeru, melalui PPPM 2013-2025 bagi melahirkan rakyat yang menghayati nilai murni, kementerian telah mengukuhkan Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral dengan lebih tumpuan kepada memupuk nilai-nilai murni dan agama serta persefahaman lebih erat antara murid.

Jelaslah, menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab dalam pendidikan anak bukan suatu perkara yang senang. Pendidikan iman, amal dan akhlak mestilah dilakukan seimbang dengan pendidikan ilmu duniawi secara berterusan.

Oleh itu, didiklah anak mengikut zamannya iaitu zaman atau era globalisasi yang penuh dengan cabaran yang memerlukan ibu bapa mempunyai ilmu keibubapaan sesuai dengan zaman ini berlandaskan Islam. Ibu bapa mestilah mempunyai ilmu dan persediaan yang secukupnya bagi menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21 dan abad seterusnya.

- PENULIS bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM./ Utusan