Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota
Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) menegaskan bahawa baginda sama sekali tidak menyokong mana-mana budaya hooligan
di arena bola sepak negara.
Namun tegas TMJ, baginda memahami punca protes yang dibuat para penyokong bola sepak
JDT terhadap pentadbiran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), minggu lalu.
“Saya tidak menyokong budaya hooligan dan
tidak setuju dengan tindakan protes sebegini yang ditujukan kepada FAM.
Saya tidak menyokong sebarang salah laku yang dilakukan oleh para
penyokong bola sepak di mana jua di seluruh negara”.
“Namun ianya tidak bermakna saya tidak memahami protes para penyokong
bola sepak Malaysia yang tidak berpuas hati dengan cara FAM mentadbir
sukan bola sepak di negara ini,” katanya yang dipetik dari Facebook Johor Southern Tigers.
Menjelaskan lebih lanjut, Tunku Ismail menegaskan baginda sama sekali
tidak menyalahkan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam
kesilapan yang dilakukan badan induk pentadbir bola sepak negara itu.
“Saya tidak menyalahkan Presiden. Saya menyalahkan organisasi. Saya
menyalahkan ahli-ahli jawatankuasa dan ahli-ahli gabungan yang tidak
bersatu dan bersuara menegur kesilapan yang dilakukan oleh badan induk
pentadbir bola sepak itu.
“Saya berdoa supaya suatu hari nanti, badan pentadbir bola sepak
negara akan mengabulkan hajat para penyokong. Bola sepak adalah milik
rakyat. FAM juga milik rakyat.
“Nasihat saya kepada mereka yang tidak memahami bola sepak dan mereka yang hanya bersuara demi modal politik peribadi, cukup-cukuplah dan hentikanlah. Anda hanya membuatkan diri anda kelihatan kurang bijak,” kata lagi.
Seramai 12 penyokong Johor Darul Takzim (JDT) ditahan kerana
mempamerkan kain rentang (tifo) seorang pemimpin berwajah anjing
dipercayai bertujuan mengaibkan pemimpin FAM pada perlawanan Piala
Sumbangsih 2015 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru
yang berkesudahan Pahang tewas 2-0 kepada JDT, Sabtu lalu. -Kedahnews.com