Tolong Mai Tengok Sat Masalah Ayaq Di Tempat Kami, Dah 5 Tahun Sengsara - Warga Kota Putra Durian Burung
Pihak Kedahnews.com menerima aduan dari beberapa penduduk di kawasan sekitar Kompleks Kerajaan Kota Putra dan kuarters berdekatan yang terletak di Durian Burung berhubung masalah air yang berlarutan di sana.
Menurut sumber aduan yang kami terima dari laman Facebook, masalah air di kawasan tersebut telah menghantui penduduk di sekitarnya sejak lebih 5 tahun dan semakin meruncing sejak setahun lalu.
Kata mereka, masalah terputus bekalan air dan tekanan air yang sangat rendah telah lama menyebabkan hidup rakyat di situ menderita.
"tolg minta YB DATO’ BADRULHISHAM HASHIM tgk ayaq kami d kompleks kerajaan Kota Putra dan kuarters sat.. 5 taun dh kami sengsara ni.." kata salah seorang penduduk berkenaan yang dikenali sebagai Bro Kre.
Menurut komen-komen seterusnya yang dipercayai juga diluahkan oleh rakyat di situ, mereka terpaksa menggunakan sumber air dari telaga selama dua tahun sejak tahun 2009 sebagaimana yang dijanjikan oleh kontraktor.
"Kontraktor janji 2 tahun saja guna ayaq telaga dari tarikh penyerahan projek pada thn 2009....", kata Fisson Ahmad pula mengadu mengenai janji-janji kontraktor yang diamanahkan untuk membina tangki air di sana.
Namun malang, kata mereka tangki berkenaan tidak bertahan lama apabila dilaporkan bocor kemudiannya.
"baru nak rasa ayaq yg bukan dari telaga, tanki pecah pulak.... dugaan.... sabaq.... sabaq... sabaq....." kata Pakjul Sp pula.
Mujib Manaff pula mendakwa masalah air di kawasan tersebut semakin meruncing dan berlarutan sejak setahun lalu serta gagal diselesaikan dengan baik oleh pihak yang diamanahkan.
Katanya, keadaan itu turut menyebabkan para penduduk yang kebanyakkannya merupakan penjawat awam kerajaan yang bekerja di pintu sempadan Malaysia-Thailand itu tertekan sejak sekian lama.
"Kuarters kerajaan taman putra ria,durian burung 06300 padang terap, kedah... Masalah berlarutan hampir setahun tanpa dpt diselesaikan dgn baik..Kami kakitangan kerajaan yg bertugas di pintu masuk sempadan my - thai," adu Mujib Manaff.
Justeru itu, mereka memohon jasa baik dan pertimbangan sewajarnya dari Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim supaya dapat memberi perhatian khusus kepada masalah mereka dan menyelesaikannya seberapa segera.
Muniff yang juga salah seorang warga Kota Putra turut mengeluh mengenai bermacam-macam janji yang pernah ditabur kepada mereka sebelum ini, namun ia gagal menyelesaikan masalah air yang kawasan tersebut.
"Janji dah mcm2 encik..tp ini lah yg kami warga kota putra terpaksa terima...demi tugas untuk negara rela kami telan...," katanya yang jelas dedikasi bertugas meskipun terpaksa menghadapi masalah air.
Badrol Hisham semalam dilaporkan berkata bahawa Kedah belum perlu untuk mencatu bekalan air bagi penduduk di negeri ini meskipun sedang dilanda kemarau berdasarkan tahap paras air di empangan- empangan yang menjadi sumber bekalan masih lagi di paras yang tidak membimbangkan. -Kedahnews.com