TAIPING – Seorang tukang masak yang disyaki mengelar seorang penuntut
Universiti Teknologi Mara (UiTM) sehingga mati di Kilometer 228.2 Lebuh
Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang, semalam
direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Suspek yang berusia 25 tahun dibawa ke Balai Polis Parit Buntar, dekat
sini kira-kira jam 10 pagi tadi untuk proses permohonan tahanan reman.
Majistret Rosnee Mohd Radzuan, yang hadir ke balai polis berkenaan
membenarkan suspek direman sehingga 9 Februari ini bagi membantu
siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pemuda yang juga dipercayai teman lelaki mangsa dan bekerja sebagai
tukang masak di Melaka, kemudian dibawa semula ke Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Taiping kira-kira jam 10.45 pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari semalam, mangsa
Norsyuhada Johari, 19, penuntut UiTM kampus Permatang Pauh Pulau Pinang,
meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar, dekat sini kira-kira jam 2
petang ketika sedang mendapatkan rawatan. - BHarian Online