Nama Datuk Ustaz Kazim Elias telah "viral" sejak
semalam gara-gara video ceramahnya lima tahun lalu tiba-tiba dibongkar
semula seorang pengerusi persatuan penduduk Cina kerana didakwa berbau
rasis.
Laporan polis yang dibuat oleh Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung
Jambu, Tumpat, Kelantan, Pui Tiong Lam semalam, mendakwa penceramah
bebas dan pengendali rancangan Kalau Dah Jodoh itu seolah-olah mahu mengaibkan kaum Cina.
Bagaimanapun menerusi laman sosial Facebook, Ustaz Kazim menolak
dakwaan tersebut dan menyifatkan dirinya tidak rasis seperti
diperkatakan.
“Assalamualaikum… Sokongan semua amat saya hargai atas isu terbaharu
ini. Saya yakin sangat-sangat Allah bantu. Saya bukan rasis tapi saya
tak berkenan dengan yang melampau mempertikaikan apa yang telah
termaktub. Allahuakbar,” katanya.
Susulan itu Ustaz Kazim telah membuat laporan polis terhadap individu
berkenaan atas tuduhan menfitnah dan cuba memutar belit isi sebenar
ceramah yang ingin disampaikannya.
“Laporan polis sudah dibuat atas tuduhan fitnah dan memutar belit isi
ceramah saya.
"Terima kasih atas sokongan dan semangat rakan rakan.
Insyaallah keterangan saya akan diambil di Balai Polis Kg Tawas Ipoh jam
2 petang hari ini,” kata Ustaz Kazim.