Ustaz Kazim Tidak "Block" Atau Padam Komen Maki Hamun Padanya

Kemungkinan untuk dikritik dan dicemuh pihak tertentu khususnya di laman-laman sosial sememangnya "makanan" yang menjadi "asam garam" yang harus ditelan oleh sesiapa sahaja yang bergelar public figure di negara kita.

Kadang-kadang, ada yang melampau sehingga kritikan itu turut "dihiasi" dengan pakej maki-hamun dan sumpah seranah yang cukup menyakitkan hati.

Mungkin itu menunjukkan bukti "kemuliaan" budi pekerti dan adab sopan akhlak di kalangan masyarakat Malaysia hari ini yang kononnya mengaku beragama Islam dan umat Nabi Muhammad SAW, kan?

Bagaimanapun, Kedahnews.com sangat kagum dengan jawapan yang boleh disifatkan sebagai "cool" dari Al-Fadhil Datuk Ustaz Kazim Elias menerusi apabila ditanya media mengenai reaksinya apabila menghadapi situasi tersebut.

Menurut pendakwah terkenal itu, beliau tidak akan sesekali bertindak memadam komen atau menyekat akaun penghentam tersebut, sebaliknya akan terus menyiarkannya.

"Untuk dia terus menulis boleh orang nilaikan, sebenarnya apa yang kita tulis dan komen sebenarnya itulah hati budi kita. 

"Dan orang akan menilai hati budi kita dengan tulisan, sebab itu saya biarkan sahaja mereka apa yang mereka hendak kata dan tulis.

"Cuma ada batas dan had, itu yang kita pantau. Kalau sentuh Perlembagaan, keselamatan dan sentuh raja-raja itu kita block.

"Kalau mereka hendak hentam saya, hentamlah,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian, hari ini.

SubhanAllah! Jauh benar akhlak kita dengan akhlak yang dimilik Ustaz Kazim, bukan? 

Itu baru akhlak Ustaz Kazim. Bagaimana pula dengan akhlak Rasulullah SAW yang digambarkan Al-Quran sebagai akhlaknya? Dan macam maca pula rupa akhlak para sahabat RA jika mahu dibandingkan dengan perangai kita?

Mungkin benarlah kita umat Islam di akhir zaman. Namun apakah status itu memungkinkan kita melakukan pelbagai dosa dan berperangai buruk setiap hari? 

Kemudian selamba pula mengaku kitalah umat Muhammad SAW sedangkan akhlak kita jauh panggang dari api berbanding baginda?

Untuk mencontohi akhlak Ustaz Kazim pun ramai yang tidak mampu, apatah lagi untuk mencontohi akhlak Rasulullah SAW dan para sahabat RA?

Tahniah kepada Ustaz Kazim. Sekurang-kurangnya apabila beliau membiarkan sahaja maki hamu terhadapnya, maka berkemungkinan besarlah jua "saham"nya di akhirat nanti. 

"Saham" kita nanti bagaimapa pula? Wallahu'alam. - Kedahnews.com