Walau sering diperlekeh dan dipertikai segelintir pemimpin politik Malaysia sendiri, Kuala Lumpur dinobat untuk berada pada kedudukan kedua dalam Indeks Bandar Raya
Lestari Asia Tenggara 2015 yang dikeluarkan oleh firma perunding
antarabangsa, Arcadis.
Ibu negara Malaysia turut berada dalam kedudukan ketujuh di belakang
Tokyo dalam Indeks Bandar Raya Lestari Asia Pasifik seperti yang
diterbitkan oleh firma perunding tersebut baru-baru ini.
Seoul menduduki tempat pertama Indeks Bandar Raya Lestari Asia
Pasifik diikuti, Hong Kong, Singapura, Sydney, Melbourne, Tokyo, Kuala
Lumpur, Shanghai, Beijing, Jakarta, Manila, Mumbai, Wuhan dan New Delhi.
Pengarah Pembangunan Korporat Arcadis, Girish Ramachandran berkata,
kelestarian dan pembangunan di Kuala Lumpur sememangnya berkait rapat.
"Kuala Lumpur juga harus fokus kepada bidang-bidang lain seperti kebajikan rakyat dan sosial.
"Kuala Lumpur bakal berdepan tekanan yang
lebih hebat pada dekad-dekad akan datang untuk menambah baik sektor
seperti kesihatan, pendidikan dan kualiti kehidupan, serta pembangunan
di sekitar rangkaian pengangkutan, bekalan air dan sistem pungutan bahan
buangan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan indeks yang dilakukan oleh Pusat
Penyelidikan Ekonomi dan Perniagaan (Cenr) itu mengkaji tuntutan sosial,
alam sekitar dan ekonomi untuk menghasilkan ranking indikatif
melibatkan 50 buah bandar raya utama di dunia.
Menurut kenyataan itu, laporan 2015 mendapati tiada bandar utopia
yang wujud setakat ini kerana para pemimpin negara perlu menguruskan
keseimbangan kompleks di antara ketiga-tiga komponen utama kelestarian
itu. -Kedahnews.com