Wanita Khusyuq Solat Sebelah Keranda Kristian, Ini Kisah Sebenarnya...


Baru-baru ini tersebar meluas beberapa keping gambar di laman sosial yang mempamerkan seorang wanita Islam sedang bersolat di tepi sebuah keranda bersalib Kristian.

Penyebaran itu tanpa sebarang kasyen penjelasan mengenai gambar berkenaan turut mencetus pelbagai telahan di kalangan pengguna laman-laman sosial di Malaysia.

Kedahnews.com yakin, ramai tertanya-tanya siapakah wanita dalam gambar yang dilihat khusyuk melaksanakan perintah Allah SWT, tetapi di sebelahnya terdapat sebuah keranda dengan bunga berbentuk salib di hadapannya.

Sebenarnya, keranda itu menempatkan jasad artis Indonesia, Rinto Harahap yang meninggal dunia pada 9 Februari lalu di Singapura selepas menderita sakit kanser tulang dan angin ahmar.

Mendiang Rinto difahamkan beragama Kristian dan bernikah dengan seorang wanita muslim bernama Lily Kuslolita.

Untuk makluman, pihak berkuasa di Indonesia membenarkan perkahwinan antara muslim dan Kristian (yang ditafsir sebagai ahli kitab di sana) tanpa mana-mana pasangan perlu menukar agama masing-masing.

Ia dikenali sebagai "pancasila" di negara jiran itu dan ia merupakan perkara biasa di sana.


Wanita bertelekung yang sembahyang di sebelah keranda mendiang Rinto itu adalah isterinya.

Rinto yang dilaporkan meninggal dunia pada usia 65 tahun dan gambar di atas dirakam sejurus sebelum mendiang dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan.

Mendiang merupakan seorang daripada anggota kumpulan pop Indonesia, The Mercy’s, yang terkenal di nusantara di era 1970-an. -Kedahnews.com