Gambar Hiasan |
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, ACP P.R Gunarajan berkata suspek berusia antara 44 dan 50 tahun itu dilapor menarik mangsa berusia 77 tahun itu masuk ke dalam kereta jenis Proton Waja di hadapan rumahnya di Jalan Baru di sini kira-kira pukul 11.30 pagi.
“Sepasukan anggota polis unit pencegahan jenayah terus digerakkan sebaik menerima laporan untuk mengesan kenderaan yang digunakan suspek,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata setengah jam kemudian kereta itu ditemui sedang menuju ke Simpang Empat Genting dan enggan berhenti ketika ditahan sebaliknya cuba menghimpit dan melanggar anggota polis yang mengejar dengan motosikal.
“Tetapi pemandu kereta itu pula yang gagal mengawal kenderaan dan terbabas ke bahu jalan,” katanya.
Gunarajan berkata pada ketika itu mangsa kelihatan diapit antara suspek lelaki dan wanita di tempat duduk belakang dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata hasil pemeriksaan polis berjaya mendapatkan semula beg tangan mengandungi wang tunai RM9,200, rantai leher beserta loket, rantai tangan dan tiga bentuk cincin emas milik mangsa.
Katanya soal siasat mendapati suspek menyasar warga emas yang tinggal berseorangan dan merancang untuk membawa mangsa ke bank untuk mengeluarkan wang sebelum ditinggalkan di tepi jalan.
Katanya kesemua suspek masih ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan, Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963.– BERNAMA