Secara diam-diam, tarikh 13 Februari ini diumumkan menjadi pilihan pasangan pelakon Yana Samsudin dan Fadzil Zahari itu untuk disatukan sebagai pasangan suami-isteri.
Memetik Berita Harian, rupa-rupanya Fadzil pernah melamar Yana pada tahun 2010, namun ketika itu dia masih belum bersedia untuk bergelar isteri.
"Bagaimanapun apabila saya buka mulut sudah bersedia berkahwin tahun
lalu, saya tunggu siapa yang melamar dulu. Saya tidak sangka Fadzil
masih menyimpan hati dan perasaan kepada saya.
"Kalau lelaki lain,
mungkin sudah lama ‘angkat kaki’ kerana terlalu lama menunggu," katanya.
Menurut Yana lagi, dia hanya mengetahui Fadzil menghantar rombongan
meminang tiga hari kemudian menerusi gambar yang dihantar kakaknya di
aplikasi WhatsApp.
"Macam nak luruh jantung saya! Sebelum ini Fadzil beritahu mahu bertemu keluarga di Yong Peng.
"Saya tidak terfikir beliau menghantar rombongan meminang. Dalam
diam, Fadzil sudah berpakat dengan orang tua saya. Mereka sengaja mahu
buat kejutan kepada saya.
"Jujurnya saya berada di persimpangan dilema, terima atau sebaliknya.
Bapa menyarankan saya melakukan solat istikharah terlebih dahulu.
Keluarga bagi saya tempoh bertenang. Saya buat solat istikarah tapi saya
tidak nampak apa-apa.
"Namun gerak hati saya bagaikan terbuka menerima
kehadiran Fadzil. Mungkin inilah petanda yang Tuhan tunjuk dalam
menentukan pilihan hidup.
"Agak lama saya termenung, saya fikir kenapa saya harus menolak insan
yang betul-betul menyayangi saya?
"Fadzil dan keluarganya melamar dengan
cara adat. Lagipun saya kenal Fadzil ketika saya belum punya apa-apa
dan belum popular. Beliau sentiasa berada di sisi ketika jatuh dan
kebangkitan saya," ujarnya lagi.
Kedahnews.com mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pelakon ini dan
pastinya peminat pun sudah tak sabar-sabar melihat mereka bersanding di
atas pelamin.
Sesungguhnya nikah itu merupakan salah satu sunnah Rasulullah SAW dan perkahwinan juga adalah antara perkara yang dianjurkan di dalam Islam. Semoga bakal pengantin ini mendapat rahmat dari Allah SWT... - Kedahnews.com