Pada bulan lalu, nama vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim tiba-tiba menjadi
sebutan ramai apabila dia dilapor telah ditangkap pihak berkuasa kerana aktiviti
penyalahgunaan dadah.
Bagaimanapun, penyanyi bersuara lunak itu mendapat simpati para peminat setelah sebuah video yang
dirakamkan seorang anggota polis menunjukkan Zamani menyanyi sambil
tangannya bergari menjadi viral di laman sosial.
Terkini, setelah reda daripada sebarang liputan terhadapnya, rupa-rupanya Zamani
dikhabarkan sedang menjalani pemulihan secara terapi di sebuah pusat
pemulihan dadah secara tertutup.
Berita tersebut dimaklumkan sendiri pembantunya, Aalan Ahmad, 41,
yang turut memberitahu, Zamani dijangka menamatkan sesi pemulihan pada
minggu depan.
"Alhamdulillah, dia berada dalam keadaan baik dan kini masih mendapat rawatan pemulihan di sebuah pusat pemulihan.
"Dia mendapatkan rawatan bermula akhir bulan lalu dan dijangka akan selesai pada minggu depan,” katanya yang dipetik dari mStar.
Menurut Aalan lagi, Zamani hanya dibenarkan menerima kunjungan ahli
keluarganya sahaja sepanjang tempoh rawatan bagi memberikan sepenuh
ketenangan dan melancarkan proses pemulihannya itu.
Sementara itu, karier Zamani dimaklumkan akan kembali rancak apabila penyanyi lagu Gerimis Mengundang itu bakal mengeluarkan album terbarunya tidak lama lagi.
Diberi judul ‘Sinar Menunggu’, album tersebut bakal
memuatkan dua single terbaru ciptaan komposer Eddie Hamid dan Johari
Teh, manakala selebihnya diisi oleh lagu-lagu yang pernah mengangkat
namanya dahulu.
Kata Aalan, “Album sudah hampir siap dan ada beberapa proses akhir
sahaja. Insya-Allah perancangannya pada Mac depan untuk majlis
pelancaran.
“Kita tunggu keadaan Zamani dahulu sehingga dia benar-benar sedia bertemu peminatnya.
“Album tersebut memuatkan dua lagu baharu ciptaan Eddie Hamid dan
Johari Teh. Manakala selebihnya lagu-lagu popular Zamani yang dirakamkan
semula.”
Buat peminat Zamani, nantikanlah kemunculan terbaru darinya sebagai "come back" selepas proses pemulihan dadah. -Kedahnews.com