1MDB: PetroSaudi Bongkar Laporan Sarawak Report Adalah Palsu

PetroSaudi Holding menafikan laporan mendakwa semua wang diperuntukkan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah disalurkan kepada syarikat tersebut.

Menurut laporan portal The Rakyat Post, PetroSaudi turut membidas laporan itu dan menyifatkannya sebagai ‘berniat jahat’ dan mengandungi ‘tuduhan liar’.

Mereka menegaskan telah membayar sepenuhnya kepada 1MDB.

“Kedua-dua pihak tidak lagi mempunyai sebarang ikatan kewangan atau undang-undang,” kata syarikat itu menerusi satu kenyataan yang disiarkan di portal itu.

Justeru, PetroSaudi kini dilaporkan sedang meneliti aspek perundangan bagi memastikan langkah selanjutnya yang boleh diambil.

Meskipun tidak merujuk secara khusus, laporan dimaksudkan dipercayai merujuk kepada artikel disiarkan Sarawak Report yang berjudul “Heist of the Century — How Jho Low Used PetroSaudi As ‘A Front’ To Siphon Billions Out Of 1MDB!” semalam.

Laporan itu antara lain mendakwa usahasama 1MDB dan PetroSaudi digerakkan oleh jutawan Jho Low.

Kenyataan PetroSaudi menjelaskan, bukti berbentuk email dan transaksi yang mendakwa syarikat milik Jho Low menerima wang dari 1MDB adalah palsu.

PetroSaudi International adalah syarikat eksplorasi minyak yang ditubuhkan pada 2005.

Ia dilaporkan dimiliki ahli perniagaan Saudi, Tarek Obaid dan Putera Turki Bin Abdullah Al Saud, anak kepada bekas Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah.