2,317 Kanak-Kanak Daftar Di Pusat Anak Permata Negara

KUALA LUMPUR – Seramai 2,317 kanak-kanak mendaftar di 88 buah Pusat Anak Permata Negara di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau memberitahu persidangan Dewan rakyat pada Selasa bahawa program itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat pelbagai kaum untuk menempatkan anak mereka yang berusia di bawah empat tahun.

Sehingga kini, lebih RM575 juta peruntukan disalurkan untuk pembangunan, perbelanjaan mengurus dan rangsangan ekonomi program Permata.

“Sebahagian besarnya turut disalurkan kepada beberapa agensi seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan sebagainya yang turut melaksanakan program Permata dengan skala yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan G. Manivannan (PKR-Kapar) yang bertanya mengenai bilangan kanak-kanak yang mendaftar di Pusat Anak Permata Negara sejak program itu dilaksanakan dari 2001 serta jumlah peruntukan tahunannya. – BERNAMA