SEMPORNA – Kira-kira 250 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Bangau-Bangau di sini awal pagi Rabu.
Ketua Balai Bomba Semporna Fazizul Hizam Borhan berkata dua jentera
bersama 12 anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima
panggilan kecemasan pada kira-kira 2.02 pagi.
“Bomba sampai di tempat kejadian lima minit kemudian apabila api sedang marak dan kira-kira 60 peratus rumah sudah terbakar.
“Anggota bomba menghadapi kesukaran untuk memadamkan api disebabkan
masalah air dan terpaksa menggunakan bot awam untuk mendapatkan bekalan
air laut untuk memadam kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi
kejadian.
Beliau berkata, pihaknya turut dibantu satu jentera dan enam anggota
dari Balai Bomba Tawau, satu jentera dan enam anggota (balai Kunak) dan
lebih 20 anggota daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
Fazizul Hizam berkata api berjaya dikawal sepenuhnya pukul 6.56 pagi
dan setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca
kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat. – BERNAMA