8 Tahun Sungai Dingin Di Serdang Tercemar, Penduduk Risau Air Bertukar Hitam Berkelodak


SERDANG - Penduduk Kampung Sungai Buluh, di sini mendakwa air sungai di kawasan tersebut tercemar dipercayai dari kilang berdekatan.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Buluh, Jamaluddin Latif berkata, pencemaran sungai itu sudah berlaku kira-kira lapan tahun lalu hingga menjejaskan aktiviti penduduk di tiga kampung berdekatan iaitu Kampung Sungai Buluh, Kampung Dingin dan Kampung Sungai Tengas untuk mencari ikan air tawar di sungai tersebut.

Menurutnya, air dari kilang itu mengalir ke parit Paya Jelutong seterusnya ke Sungai Dingin hingga menyebabkan pencemaran bau sekali gus memberi ketidakselesaan kepada penduduk.

“Air di kawasan parit ini menjadi hitam dan berkelodak dan terbaru banyak ikan mati disyaki berpunca dari pencemaran air sungai itu,” katanya.

Katanya, aduan sudah dibuat kepada pihak berkenaan, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

“Kita sudah buat aduan dan perjumpaan dengan pihak kilang termasuk beberapa pihak bertanggungjawab namun  pencemaran masih berlaku,” katanya.

Penduduk, Mahmud Latif, 65, berkata, keadaan sungai yang tercemar itu menyebabkan dia tidak lagi menggunakan air sungai itu untuk mandi.

“Dulu jika musim panas saya dan keluarga akan mandi di sungai tersebut namun, disebabkan air sudah tercemar saya tidak lagi mandi di situ elak kulit gatal,” katanya.

Sementara Mohd Anuar Wahab, 35, pula berkata, pihak berkenaan perlu  pantau dan mengambil tindakan sekiranya pencemaran sungai itu berpunca daripada kilang.

“Kami minta pihak terlibat segera ambil tindakan elak timbul masalah lain,” katanya.