Abdul Hadi, PAS Dilabel "Pengkhianat Bersiri" Oleh DAP

KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi dilabel pengkhianat Pakatan Rakyat apabila memohon kebenaran untuk membentangkan usul persendirian bagi membolehkan pelaksanaan hukum hudud dilaksanakan di Kelantan pada sidang Parlimen nanti.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Presiden PAS itu terus mengkhianati dan menghina Pakatan Rakyat dengan memungkiri janji yang dinyatakannya sendiri kepada Pakatan Rakyat berhubung isu hudud sebelum ini.

“Pengkhianatan bersiri oleh kepimpinan utama PAS ini adalah satu tindakan provokasi yang dilakukan secara sengaja untuk memecahkan Pakatan Rakyat atau demi mengugut DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerah kepada PAS atau melihat Pakatan Rakyat berpecah.

“Pendekatan sedemikian oleh Abdul Hadi tidak boleh menjadi sebahagian daripada pendekatan konsensus yang digunakan Pakatan Rakyat demi demokrasi yang sihat dan koalisi yang berfungsi dengan baik. 

"Pimpinan DAP dikhianati oleh PAS Kelantan dan beberapa pimpinannya atas sikap tidak jujur, licik dan khianat mereka membelakangi Pakatan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut memperlekehkan Abdul Hadi kerana yakin PAS masih ada tempat dalam kalangan pengundi bukan Islam.

Kata beliau, Presiden PAS berkhayal jika menyangkakan bahawa sokongan kalangan bukan Islam terhadap PAS masih belum hilang selepas mereka dikhianati oleh parti itu.

Dakwanya, PAS bukan sahaja telah menamatkan Pakatan Rakyat malah prospek parti itu dalam pilihan raya akan datang.

“Dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP Isnin malam nanti, tindakan terkini oleh Abdul Hadi itu akan dipertimbangkan sekali bersama undang-undang hudud yang telah diluluskan oleh PAS Kelantan,” tegasnya.